Antarabangsa

Rusia musnahkan pesawat terbesar dunia milik Ukraine

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KYIV, 01 Mac 2022 – Pesawat terbesar di dunia Antonov AN-225 milik Ukraine dilaporkan musnah dalam kejadian terbaharu ketika Rusia melakukan serangan ke atas lapangan terbang berhampiran Kyiv pada Ahad lepas.

Pesawat digelar ‘Mriya’ yang bermaksud ‘mimpi’ dalam bahasa Ukraine itu diletakkan di lapangan terbang berhampiran Kyiv ketika ia diserang tentera Rusia.

“Rusia mungkin telah memusnahkan ‘Mriya‘ kita tetapi mereka tidak akan dapat memusnahkan impian kita untuk sebuah negara Eropah yang kuat, bebas dan demokratik. Kita akan menang!” ujar Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba di Twitter miliknya.

Syarikat pertahanan negara Ukraine yang menguruskan pesawat Antonov, Ukroboronprom telah mengesahkan perkara tersebut dan menuntut supaya Rusia menanggung ganti rugi untuk pembinaan semula pesawat berkenaan yang menelan kos sehingga lebih AS$3 bilion (RM12.6 bilion).

“Tugas kami adalah untuk memastikan kos ini ditanggung oleh Persekutuan Rusia yang telah menyebabkan kerosakan yang disengajakan kepada sektor penerbangan dan kargo udara Ukraine,” jelas kenyataan tersebut pada Ahad.

Sebelum ini, tentera Rusia mendakwa telah menawan lapangan terbang Gostomel di mana AN-225 ditempatkan pada hari Jumaat.

Imej satelit yang dikeluarkan oleh syarikat Maxar Technologies menunjukkan kerosakan yang teruk pada bahagian hangar tempat AN-225 disimpan.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Amerika Syarikat (NASA) juga turut berkongsikan beberapa imej satelitnya yang menunjukkan kemusnahan lapangan terbang tersebut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: