Persatuan Antarabangsa ‘Hukum’ Kucing Rusia Kerana Perang
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PARIS, 06 Mac 2022 – The Fédération Internationale Féline, sebuah Persekutuan Kucing Antarabangsa mengumumkan pengharaman penyertaan oleh kucing-kucing dari Rusia untuk menyertai sebarang pertandingan antarabangsa yang dianjurkan oleh persekutuan itu, menurut hantaran di Twitter @NewsBFM.
Pengumuman pengharaman yang dibuat selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine itu berkuatkuasa sehingga akhir Mei dan seterusnya perkara tersebut akan dikaji semula, ujar FIFe.
Di samping itu, FIFe juga tidak membenarkan kucing kepunyaan pempamer yang tinggal di Rusia menyertai mana-mana pameran FIFe di luar Rusia, tanpa mengira organisasi mana pempamer ini memegang keahlian mereka, tegas The Fédération Internationale Féline yang mempunyai keahlian dari hampir 40 buah negara.
Menurut laman web Persekutuan Kucing Antarabangsa, persekutuan itu mengadakan lebih daripada 700 pertunjukan di seluruh dunia setiap tahun, dengan lebih daripada 200,000 ekor kucing dipamerkan dari Brazil ke United Kingdom.
The Fédération Internationale Féline yang ditubuhkan 70 tahun lalu juga tidak membenarkan kucing yang dibiakkan di Rusia diimport atau didaftarkan dalam mana-mana buku salasilah keluarga persekutuan tersebut.
Atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan FIFe terhadap haiwan comel itu, pegawai persekutuan tersebut memaklumkan bahawa persekutuan itu berbesar hati menderma dana untuk membantu penternak kucing di Ukraine.
Terdahulu, Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah, dalam sebuah kenyataan bersama menyatakan bahawa mereka akan mula mengehadkan ‘penjualan’ kerakyatan kepada bangsawan Rusia, sebagai tanda tentangan terhadap penaklukan Ukraine.
Selain itu, syarikat teknologi gergasi seperti Facebook, TikTok dan Microsoft sepakat menyekat organisasi media Rusia bagi menghalang penyebaran berita palsu mengenai peperangan yang sedang berlaku di Ukraine.
Meta yang sebelum ini dikenali sebagai Facebook mengehadkan akses penduduk di Kesatuan Eropah (EU) terhadap media Rusia termasuk RT atau Russia Today dan Sputnik kerana kedua-dua organisasi media itu dilabel sebagai lidah rasmi Kremlin dan platform yang ‘menggalakkan dan mencetuskan peperangan’.