Tempatan

Burger Ayam Dilarang Eksport

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 02 Jun 2022 – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melaui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan memastikan tiada aktiviti pengeksportan komoditi ayam selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 23 Mei lalu.

MAFI melalui akaun rasminya telah menyenaraikan 11 barangan makanan berasaskan ayam yang dilarang untuk dieksport ke luar negara.

MAFI menjelaskan larangan eksport komoditi ayam itu meliputi ayam hidup, ayam bulat segar, ayam bulat beku, keratan ayam dan ofal segar dan beku, kepak, pangkal paha, hati, daging tanpa tulang serta lain-lain bahagian seperti kaki dan kulit.

Selain itu, sosej, nuget, ayam bersalut tepung, burger dan lain-lain makanan berasaskan ayam juga termasuk dalam senarai tersebut.

Dalam pada itu, MAFI turut memaklumkan sekiranya terdapat perlanggaran, tindakan di bawah subseksyen 11(2) dan 11(3), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 [Akta 728] boleh diambil.

“Sabit kesalahan, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan sehingga enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kelulusan permit yang meliputi pengeksportan ayam hidup, karkas ayam bulat, keratan daging ayam dan produk makanan berasaskan ayam tidak lagi dikeluarkan dan semua permit untuk membawa keluar komoditi itu dibatalkan,” ujarnya.

MAQIS katanya akan melakukan kawalan secara fizikal di semua pintu keluar.

“Konsainan eksport komoditi tersebut perlu diuruskan sewajarnya oleh pemilik permit,” jelasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan langkah jangka pendek iaitu pemberhentian eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: