Tempatan

Pahang Jadi Penanda Aras Kelestarian Alam Sekitar – Pemangku Raja Pahang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BENTONG, 17 Julai 2023 – Pahang akan dijadikan sebagai penanda aras dalam menjalankan sektor ekonomi yang akan terus mengekalkan aspek kelestarian alam sekitar.

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar negeri dibawah naungannya menjadi benteng penyerapan karbon, hutan pemulihan, penyediaan perkhidmatan ekosistem selain pembuka jalan bagi pelancongan mesra alam semulajadi.

“Memang ada cabaran seperti rangkaian besar kawasan perlindungan dan hutan simpan Pahang yang memerlukan rondaan dan penguatkuasaan lebih kerap namun cabaran akan sentiasa ada dan kita perlu menerima serta mengubahnya menjadi peluang.”

Kebawah Duli Tuanku bertitah demikian ketika menyempurnakan Program Kembali Ke Alam Semulajadi anjuran CEO Action Network dan WWF-Malaysia di Resort World Awana di sini, hari ini.

Mengiringi baginda, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YAM Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

BACA JUGA: Pencerobohan Haram Tanah Raub Menjadi-Jadi, Orang Kampung Bakal Melopong

BACA JUGA: KJ Tempelak Presiden UMNO Pertahan Lim Guan Eng, Terkait Isu 3R

BACA JUGA: Pemanasan Global: Cuaca Malaysia Bercelaru

Turut hadir Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengerusi WWF Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Action Network (CAN), Datuk Muhamad Umar Swift serta Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun.

Selain itu, Kebawah Duli Tuanku turut bertitah agar semua pihak mengambil tanggungjawab untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan hidupan sentiasa terpelihara dengan sebaiknya.

Titah Kebawah Duli Tuanku, semua pihak terlibat mempunyai kuasa untuk memandu perubahan transformatif dan membentuk masa depan di mana kemakmuran ekonomi mampu berkembang maju seiring dengan pemeliharaan alam sekitar.

Kebawah Duli Tuanku juga memberi penekanan tentang kemahiran dan kesediaan terhadap Environmental Social and Governance (ESG).

“Marilah kita mengambil peluang ini dan menggunakannya untuk mewujudkan sasaran mitigasi (pengurangan kesan bahaya) karbon kita sendiri serta strategi sisa sifar.”

“Kita boleh beralih daripada ekonomi eksploitasi alam semula jadi iaitu berpusat di sekitar pembalakan dan perladangan dengan bergerak ke arah yang ekonomi bersih dan hijau.”

“Kita boleh mematuhi ESG dan menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri zon ekonomi hijau global yang kompetitif dan dengan rangka kerja ekonomi hijau dan usaha setempat yang diperhebat, Pahang boleh menjadi pusat kecemerlangan bagi pemuliharaan hidupan liar dan pemulihan hutan,” titah Kebawah Duli Tuanku.

Tegas Kebawah Duli Tuanku, pertumbuhan ekonomi yang mampan hanya boleh direalisasikan melalui kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan pendekatan melibatkan keseluruhan masyarakat.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: