Tambak Laut, Bina Pelabuhan, Jejas Pendapatan Nelayan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MELAKA, 06 Februari 2023 – Projek tambakan laut terbaharu bagi membina pelabuhan laut dalam dan terminal pelayaran di Melaka didakwa telah menjejaskan pendapatan nelayan dan alam sekitar.
“Semakin lama projek ini berjalan, semakin terjejas pendapatan kami,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Selamatkan Komuniti Portugis Melaka, Martin Theseira.
Martin yang juga seorang nelayan berkata, tangkapan ikan merosot hampir 65 peratus jika dibandingkan 30 tahun lepas.
BACA JUGA: Ketamadunan Mesopotamia Datang Ke Alam Melayu Berbagi Ilmu
BACA JUGA: Tamadun Sungai Batu Mempunyai Struktur Bangunan ‘Moden’
BACA JUGA: 4 Punca Kenaikan Harga Sayur – KPDN
Katanya, perkara itu membuatkan komuniti nelayan terutama di kawasan Parit Cina sangat kecewa apabila setiap tahun jumlah tangkapan mereka semakin merosot.
“Udang geragau semakin sikit, ikan gelama dan ketam bunga sudah kurang. Nelayan terpaksa pergi jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan dan kami terpaksa menanggung kos tambahan seperti petrol dan menggunakan enjin yang sesuai,” luahnya.
Mengulas lanjut, Martin menegaskan penduduk tidak menentang pembangunan, sebaliknya proses itu harus direncanakan dengan sebaik mungkin agar menjamin kelestarian terhadap alam sekitar dan masyarakat.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Hairil Anuar, 52, berkata dia sedang mengumpul lebih 100 tandatangan penduduk sekitar.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil penduduk terjejas mahu Kerajaan Negeri mempertimbang semula cadangan Padang Temu, Telok Mas dan Alai yang membantah cadangan projek tambakan laut itu.
“Masyarakat kampung sangat mengharapkan projek berkenaan tidak diteruskan oleh Kerajaan Negeri untuk kebaikan bersama. Alam sekitar di pesisir pantai sedia ada sudah terjejas dan jangan ditambah kesan negatif daripada pembangunan baharu,” rayunya.
Jelasnya, kawasan di sekitar Crystal Bay sendiri kerap berlaku bencana banjir yang teruk sehingga mengakibatkan kerugian harta benda kepada penduduk setempat.
Terdahulu beberapa NGO, penduduk bersama Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dilaporkan telah menghantar surat bantahan ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek tebus guna tanah seluas 1,190 ekar bagi pembinaan pelabuhan laut dalam bertaraf antarabangsa dan terminal pelayaran.
Menurut Khoo, sekurang-kurangnya 15 perkampungan nelayan terkesan dengan projek ini dan seterusnya akan menjejaskan pendapatan 500 nelayan.