KDYMM Pemangku Raja Pahang Titah Wujudkan Rizab Alam Semula Jadi Baru
NEW DELHI, 10 April 2023 – KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah Negeri Pahang bakal mewujudkan rizab alam semula jadi baharu sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia melindungi harimau Malaya yang terancam.
Titah Kebawah Duli Tuanku, sebuah taman negara baharu seluas 1,340 kilometer persegi di kawasan hutan simpan Gunung Aais dan Tekai Tembeling akan diwartakan pada bulan ini, serta tambahan kawasan seluas 400 kilometer persegi untuk meningkatkan usaha pemuliharaan hidupan liar.
BACA JUGA: NGO Gesa SPRM Siasat Majlis Perbandaran Klang
BACA JUGA: Lanjutkan Umur Bersara Tak Sesuai Di Malaysia – Datuk Dr Syed Hussain
BACA JUGA: Hampir 10 Ribu Anak Luar Nikah, Anak Angkat Tunggu Status Warganegara
“Taman baharu ini akan menyediakan habitat selamat untuk menyokong pemulihan semula jadi populasi harimau Malaya dan spesies hidupan liar lain termasuk gajah, tapir dan gaur,” titah Kebawah Duli Tuanku dalam persidangan di Karnataka sempena 50 tahun Projek Harimau India, Ahad lalu.
Pusat pelepasan bertahap atau ‘soft release centre’, yang pertama seumpamanya di Malaysia, adalah sebahagian daripada pelan strategik untuk taman ini, tegas Kebawah Duli Tuanku.
Mengakui populasi harimau Malaya kini diancam kepupusan, Kebawah Duli Tuanku bertitah Malaysia mampu memulihara populasi ikon utama Malaysia itu kerana kawasan hutan yang luas, khususnya di Pahang Darul Makmur.
Sebagai contoh, Kebawah Duli Tuanku menyenaraikan inisiatif negeri ini termasuk menjalankan program anti-pemburuan haram dan penubuhan Jawatankuasa Pemuliharaan Hidupan Liar Pahang untuk membantu Majlis Biodiversiti Negeri Pahang dalam perlindungan hidupan liar.
Selain itu, kajian di kawasan Taman Negara yang lebih besar turut dijalankan bagi mengenal pasti kawasan dengan nilai pemuliharaan yang tinggi di samping meneroka potensi pembiayaan lestari.
Tegas Kebawah Duli Tuanku, pemuliharaan hidupan liar bukan sekadar tugas Kerajaan dan organisasi pemuliharaan tetapi memerlukan usaha kolektif daripada semua pihak berkepentingan.