Tempatan

Mahu Tasik Chini Relevan Sebagai Rizab Biosfera, Aktiviti Gali Pasir, Mineral Sudah Dihentikan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KOTA BHARU, 03 Ogos 2022 – Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa sebarang aktiviti, termasuk kelulusan baharu untuk pengambilan pasir dan mineral yang boleh menjejaskan Tasik Chini, sudah dihentikan bagi memastikan status Tasik Chini sebagai sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) dapat dikekalkan.

Ini susulan daripada laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), yang mengatakan Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

“Beberapa tindakan sama ada oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri sudah diambil bagi mengelak Tasik Chini dilucutkan status UNESCO.”

“Antara tindakan diambil adalah kita menghentikan segala kegiatan yang boleh menjejaskan Tasik Chini dan tiada lagi kelulusan baru serta apa-apa usaha untuk membangunkan kawasan berkenaan, termasuk mengambil pasir dan mineral.”

“Jadi, arahan tegas daripada Kerajaan adalah tidak ada kelulusan baharu untuk pengambilan mineral dan galian di Tasik Chini,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Islah, hari ini.

Terdahulu, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan supaya Kerajaan Negeri bertindak lebih agresif dalam memastikan Tasik Chini dapat dipulih dan dihijaukan semula.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut bertitah agar pajakan lombong di Tasik Chini yang tamat tempoh, tidak disambung dan kawasan itu dihijaukan semula dengan segera.

“Tanpa penguatkuasaan yang tegas, segala usaha akan gagal, sia-sia dan tidak berkesan. Justeru, saya bertitah agar agensi dan badan penguatkuasaan perlu memainkan peranan masing-masing secara serius.”

“Alam ini adalah milik kita bersama dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaganya secara bersama,” titah baginda bersempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini pada Isnin lalu.

Walaupun Tasik Chini dalam risiko dilucutkan statusnya, namun pihak UNESCO memberi tempoh sehingga 30 September ini untuk Malaysia memaklumkan perancangan merawat dan memulihkan tasik terbabit serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: