Agama Islam Bukan Bahan Jenaka Yang Boleh Dijadikan Gurauan – Agong
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUANTAN, 26 Julai 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa agama Islam bukan bahan jenaka yang boleh dijadikan bahan gurauan oleh sesiapa sahaja.
“Saya tidak lagi mahu melihat kejadian seperti ini berulang, lebih-lebih lagi di negeri Pahang. Majlis sebagai badan utama yang menjaga Islam di negeri ini hendaklah memastikan kesucian dan kemuliaan agama Islam terus terpelihara dan dipertahankan,” titah Kebawah Duli Tuanku yang berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang kali ke-186 di Hotel Grand Darul Makmur, semalam.
Turut berangkat mengiringi adalah paduka-paduka anakanda, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Dalam pada itu, Kebawah Duli Tuanku bertitah, agama Islam merupakan agama yang suci dan murni, terpelihara daripada sebarang kecacatan dan kecelaan.
“Mereka yang berani melakukan provokasi dan penghinaan kepada agama Islam telah melakukan kesalahan yang amat besar di sisi agama kita.”
“Agama Islam mengajar kita untuk saling menghormati dan menyayangi sesama insan. Perpaduan ummah menjadi tonggak kepada penyatuan umat Islam. Perpaduan dan keharmonian umat Islam di negeri ini tidak akan dapat dibentuk, tanpa adanya usaha-usaha yang berterusan dari agensi-agensi agama negeri,” tegas Kebawah Duli Tuanku yang tidak mahu melihat kejadian seperti ini berulang lagi.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak serta Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Osman.