Tempatan

KDYMM Pemangku Raja Pahang Sokong Projek Jalan Batal Demi Flora Fauna

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JERANTUT, 01 Ogos 2023 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyokong pembatalan projek jalan Mat Daling, Ulu Tembeling ke Kampung Pasir Raja, Terengganu demi memelihara flora dan fauna.

“Saya tahu pembatalan projek jalan ini menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat Ulu Tembeling, ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju. Saya sesekali tidak menolak pembangunan namun saya sendiri tidak bersetuju dengan projek tersebut.”

BACA JUGA: Petrol Tak Turun Sebab Hutang Negara Besar, Bakal Jejas Inisiatif Rakyat Lain – Rafizi

BACA JUGA: BN Janji Majukan Kawasan Perkampungan Cina Hainan Jika Menang PRN

BACA JUGA: AWAS! Beruang Dilihat Berkeliaran, Penduduk Kampung Gusar

“Saya sendiri telah membaca laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling atau EIA yang telah dijalankan dan sungguh banyak spesis hidupan liar, flora dan fauna yang terdapat di kawasan Ulu Tembeling ini. Perlaksanaan projek jalan ini akan menyebabkan khazanah berharga ini terancam serta membuka peluang kepada pemburu haram untuk masuk memburu,” titah Kebawah Duli Tuanku.

Kebawah Duli Tuanku bertitah demikian di Majlis Perjumpaan Bersama-sama Rakyat Setempat Ulu Tembeling di Kampung Bantal, pada Ahad.

Turut mengiringi baginda ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Pegawai Daerah Jerantut, Dato’ Khairun Nissa Aris dan seluruh kepimpinan setempat.

Tambah Kebawah Duli Tuanku, pembatalan projek jalan akan memberi lebih manfaat dari kerugian seperti yang dianggap sesetengah pihak.

Kebawah Duli Tuanku juga bertitah projek ini tidak nampak kelebihan dari segi limpahan ekonomi akan mengalir lebih banyak kepada rakyat di negeri ini.

Justeru, Kebawah Duli Tuanku meminta agar projek-projek yang lebih bermanfaat disediakan untuk rakyat.

“Walaupun projek jalan itu dibatalkan, saya telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar dapat menaik taraf jalan-jalan perhubungan di dalam kawasan Ulu Tembeling terutamanya yang rosak dan perlu dibaiki.”

“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat menyusul dengan Kerajaan Persekutuan agar jalan perhubungan antara kampung dapat diwujudkan selain melihat juga keperluan kemudahan lain seperti naik taraf klinik kesihatan serta baik pulih sekolah-sekolah,” titah baginda.

Mengulas tentang Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah, Kebawah Duli Tuanku yakin rizab tersebut akan memberi manfaat dan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung, belia dan orang asli berhampiran.

“Insya-Allah saya telah melihat contoh model ini dilaksanakan di Rizab Harimau di negara India. Saya yakin ia akan menggalakkan ekonomi pelancongan tempatan dan kawasan ini akan lebih terpelihara, tiada lagi pembalakan dan insya-Allah lebih ramai pelancong akan datang ke sini.”

“Saya juga mahu masyarakat kampung turut bersama-sama menjadi mata dan telinga untuk menjaga Rizab Harimau Diraja ini,” titah Kebawah Duli Tuanku.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: