Tempatan

Agong, Raja Permaisuri Cemar Duli Ke Istiadat Pengurniaan Darjah & Pingat Kebesaran

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PAHANG, 09 Disember 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli ke Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah dan Pingat-Pingat Negeri Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-63 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang bertempat di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan, semalam.

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah dan pingat kebesaran kepada 162 penerima di Istiadat tersebut, lapor media tempatan.

Mendahului senarai penerima ialah Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Mahkamah Tinggi Shah Alam, Yang Arif Dato’ Indera Abd Halim Aman yang merupakan antara 12 penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri.

Antara penerima SSAP adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg. Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), YBhg. Dato’ Azhar Abdul Manaf dan Pengarah Pengurusan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, YH. CP Datuk Zaini Jass.

Selain itu, seramai empat individu telah dikurnia Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Dato’ Indera antaranya ialah Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi.

Manakala seramai 11 penerima pula telah dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato’ termasuk kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Zakaria Ibrahim dan Datuk Bandar Kuantan, YH. Dato’ Hamdan Hussin.

Seramai 45 penerima pula dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Dato’ antaranya ialah Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pahang, SAC Mohd Yusri Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari.

Bagi Darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) pula telah dikurniakan kepada lapan individu, 13 penerima pula dikurniakan Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP), sembilan individu pula menerima Darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) dan 15 individu menerima Darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP).

Penerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) adalah seramai 17 individu, manakala Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dikurniakan kepada 14 penerima dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dikurniakan kepada 14 penerima.

Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah dan Pingat-Pingat Negeri Pahang turuti diserikan dengan kehadiran anakanda-anakanda Seri Paduka Baginda berdua serta turut dihadiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama isteri, Datin Sri Dato’ Hajah Burhah Mohammed, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Osman dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: