Tempatan

Pemangku Raja Pahang Tawan ‘Red Forest’ Kurang 25 Minit

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JERANTUT, 22 Mac 2022 – KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan mendaki Bukit Merah atau turut dikenali sebagai Bukit Buluh dengan ketinggian 371 meter dalam tempoh 21 minit sahaja.

Kepantasan Kebawah Duli Tuanku mendaki “Red Forest” dalam tempoh yang singkat itu menjadi inspirasi dan semangat untuk pendaki yang lain. Seperti yang diketahui ramai, tempoh dakian biasa yang diperlukan adalah 40 minit hingga ke satu jam.

BACA: Pahang Penyumbang Oksigen Utama Semenanjung Malaysia – Tengku Hassanal

BACA: Tengku Hassanal Komited Dengan Komitmen Pemuliharaan Alam Sekitar – John E Scanlon

BACA: Ahli Politik Tidak Boleh Berselindung Guna Institusi Diraja – Tengku Hassanal

Kebawah Duli Tuanku berkenan berangkat mendaki bersama rakyat Baginda bersempena dengan “Pahang Hiking Day 2022” bermula jam 8.15 pagi dan tiba di puncak bersama 100 pendaki lain secara berperingkat.

Dalam pada itu, Kebawah Duli Tuanku turut berkenan merasmikan tugu papan “I Love Bukit Merah” yang menjadi salah satu gimik perasmian acara Pahang Hiking Day 2022 yang terletak di Padang Piol, Jerantut.

Turut mengiringi keberangkatan Tuanku, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar bin Haji Shamsudin.

Selaras dengan tema pelancongan yang baharu iaitu “This is Pahang – Unlimited”, Pahang Hiking Day 2022 merupakan acara pemangkin buat pelancong dari luar untuk hadir mencuba dan menerokai “hidden gems” melalui pendakian yang menjanjikan pemandangan menarik di seluruh negeri Pahang.

Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang bersama Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Negeri Pahang menganjurkan acara ini dengan tujuan mempromosikan bukit-bukit yang terdapat di seluruh negeri Pahang serta menggalakkan rakyat untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Pendakian serentak di seluruh negeri Pahang itu melibatkan 13 lokasi dan lebih kurang 1,500 orang pendaki.

Pahang memiliki pelbagai daya tarikan dan terdapat sebanyak 79 bukit di seluruh negeri serta 2044 batang sungai meliputi keseluruhan negeri yang boleh diterokai oleh pelancong yang hadir ke negeri Pahang.

Leave a Reply

Back to top button