100 Juta Pokok Ditanam Demi Penghijauan Malaysia – Pemangku Raja Pahang
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PEKAN, 17 Ogos 2022 – Pelancaran Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Daerah Pekan yang dijalankan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan semalam telah mendapat perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagi menyempurnakan majlis, Kebawah Duli Tuanku berkenan untuk turut serta dalam aktiviti menanam pokok bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Ahli Dewan Negeri (AND) Pulau Manis, YB Dato’ Khairuddin Mahmud; Yang Dipertua Majlis Daerah Pekan, YH Dato’ Haji Zainal Abidin Md Amin dan Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkipli.
Kebawah Duli Tuanku yang sememangnya cakna akan kepentingan alam sekitar sebelum ini pernah menitahkan agar semua pihak mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau Environmental, Social & Governance (ESG) Negeri Pahang.
Kebawah Duli Tuanku bertitah, “Saya menyeru sekali lagi kepada semua pihak termasuk kerajaan saya, syarikat korporat dan swasta dan juga orang perseorangan untuk mengambil serius tentang pelaksanaan ESG. Janganlah ianya menjadi retorik semata-mata sebaliknya prinsip ESG ini perlu menjadi amalan dan panduan kita dalam menjadi khalifah di bumi ini.”
View this post on Instagram
Menyahut titah Kebawah Duli Tuanku, sebanyak 500 batang pokok yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Majlis Daerah Pekan dan pihak swasta telah ditanam dan 15,000 anak ikan sumbangan Jabatan Perikanan Negeri Pahang turut dilepaskan dalam program Penghijauan Malaysia itu.
Dalam pada itu, YH Dato’ Haji Zainal Abidin Md Amin berkata, kempen penanaman 100 juta pokok tersebut dilaksanakan adalah bagi meningkatkan kesedaran semua pihak dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya kawasan litupan pokok dan hutan kepada kesejahateraan hidup manusia, memelihara dan menjaga hutan serta alam sekitar.
“Daerah Pekan telah mensasarkan penanaman 8,000 pokok setahun dan 40,000 pokok dalam jangka masa lima tahun. Sehingga kini Majlis Daerah Pekan, pemaju, agensi kerajaan dan swasta telah berjaya menanam sebanyak 3,000 batang pokok,” ujarnya.