Tengku Hassanal Berkenan Rasmi ‘Tugu Peringatan Force 136 Pahang’ Cetusan Idea Agong
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PAHANG, 26 September 2022 – KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan merasmikan ‘Tugu Peringatan Force 136 Pahang’, yang mana pembinaannya adalah cetusan idea KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memperingati 244 pejuang tanah air.
Turut mengiringi keberangkatan baginda, YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Komander Rejimen 505 Askar Wataniah; YBhg. Panglima 4 Briged (Mek), YH Brigedier Jeneral Dato’ Zahari Mohd Ariffin; Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab. Moin.
YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dalam sembah ucapan berkata cetusan idea oleh Seri Paduka Baginda adalah semasa menjawat jawatan sebagai Komander Rejimen 505 Askar Wataniah.
YAM Tengku Panglima Raja turut mengimbas kembali sejarah penubuhan Force 136 pada 16 Mac 1944 di mana ia merupakan nama samaran kepada operasi sulit melibatkan perisikan dan sabotaj terhadap tentera Jepun yang terdiri daripada anak-anak watan negeri Pahang.
‘Tugu Peringatan Force 136 Pahang’ yang didirikan di Kem Puncak Emas, Raub, Pahang, mengabadikan nama-nama pejuang seramai 244 orang yang terdiri daripada 27 pegawai dan 217 lain-lain pangkat.
Penyempurnaan perasmian Tugu Peringatan Force 136 Pahang Rejimen 505 Askar Watahniah oleh Kebawah Duli Tuanku pada Jumaat adalah bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-89 yang disambut pada tarikh 16 September setiap tahun.