Tempatan

Kuasa SPRM Terhad Kepada Siasat Kew Korupsi Bukan Kod Etika Hakim — Kumpulan Mantan Presiden Majlis Peguam

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 10 April 2023 — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melampaui kuasa di bawah undang-undang apabila mengemukakan pandangan kepada Ketua Hakim Negara berhubung dakwaan pelanggaran kod etika oleh Hakim Perbicaraan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, kata 14 mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia.

Menurut kumpulan itu, SPRM sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat atau membuat sebarang penemuan sama ada Hakim telah melanggar kod etika, kerana kuasanya terhad kepada menyiasat dakwaan rasuah.

BACA JUGA: PDRM Nafi Dalang Kes Penyeludupan Mercun

BACA JUGA: Kereta Polis Dengan Muatan Mercun Bernilai RM25,000 Ditahan

BACA JUGA: Jalan Gua Musang-Kuala Lipis Ditutup, Polis Cadang Laluan Alternatif

“SPRM hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat dakwaan rasuah dan perkara yang berkaitan dengannya. Perkara ini jelas termaktub dalam Akta SPRM.”

“SPRM tidak mempunyai sebarang kuasa atau bidang kuasa untuk menyiasat, apatah lagi membuat penemuan atau melihat dakwaan konflik kepentingan dalam perkara mahkamah dan pelanggaran etika kehakiman,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dibuat berikutan dokumen ‘bocor’ daripada SPRM, yang mendedahkan ‘penemuan’ dan ‘pandangan’ bahawa Hakim dalam perbicaraan SRC telah melanggar Kod Etika Hakim.

Kumpulan itu juga berpendapat dokumen sulit SPRM itu wajar disiasat dalam kadar segera.

“Lebih-lebih lagi, adalah menghairankan bahawa surat yang sensitif dan sulit sebegitu boleh didapati di domain awam dan menimbulkan persoalan serius tentang kerahsiaan proses SPRM, yang memerlukan siasatan segera,” tambah mereka.

Kenyataan itu ditandatangani oleh 14 bekas Presiden Majlis Peguam antaranya Datuk S Ambiga, Tan Sri VC George, Datuk Param Cumaraswamy, Datuk Dr Cyrus Das, Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Yeo Yang Poh, Kuthubul Zaman Bukhari, Datuk Lim Chee Wee, Steven Thiru, Datuk George Varughese, Datuk Fareed Abdul Gafoor dan AG Kalidas.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: