Saksi Dakwa Tommy Thomas ‘Green Light’ Pendakwaan, Walaupun Siasatan Belum Lengkap
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 25 Disember 2022 – Seorang saksi mendakwa bekas peguam negara, Tommy Thomas telah memberikan ‘lampu hijau’ kepada pendakwaan bekas Pengerusi FELDA, Shahrir Samad berhubung pengubahan wang haram RM1 juta biarpun kertas siasatan (IP) masih belum lengkap, memetik kepada sebuah berita tempatan.
Saksi tersebut yang juga Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurzahidah Yacop memberitahu kepada Mahkamah Tinggi bahawa IP tersebut tidak lengkap berikutan pihak berkuasa tidak meneruskan dakwaan ke atas tertuduh bahawa RM1 juta itu adalah pembayaran balik dan bukannya pendapatan.
Kata saksi pendakwaan ke-22 itu, pihak SPRM pada tahun 2019 hanya menyiasat RM1 juta yang masuk ke akaun Shahrir melalui cek daripada Perdana Menteri ketika itu, Najib Abdul Razak pada 28 Nov 2013, sewaktu perbicaraan pengubahan wang haram terhadap bekas Ahli Parlimen berkenaan.
Saksi turut mengesahkan bahawa Shahrir telah pun memberitahu sebanyak lapan kali semasa siasatan kepada pihak SPRM di mana RM 1 juta tersebut adalah pembayaran balik untuk kerja politik dengan merujuk kepada banyak transaksi perbankan sebelum ini yang menunjukkan beliau mengeluarkan RM2.6 juta untuk kerja politik.
Menurut Nurzahidah, makluman berhubung dakwaan terhadap Shahrir dan sama ada beliau perlu meneruskan penyiasatan ke atas dakwaan tersebut telah pun dibuat kepada pihak atasan, namun tiada maklum balas yang diterima.
Peguam bela, Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros baru-baru ini turut menunjukkan kepada Nurzahidah pelbagai penyata bank berhubung aliran keluar lebih RM2.6 juta daripada akaun Shahrir sebelum kemasukan RM1 juta tersebut yang menurut kenyataan saksi, beliau tidak menerima dokumen berkenaan sewaktu siasatannya pada tahun 2019.
Sewaktu disoal oleh peguam bela adakah adil untuk SPRM tidak menyiasat transaksi bank sebelum kemasukan RM1 juta itu, saksi menyatakan tidak.
Tommy Thomas dilantik sebagai peguam negara sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 dan meletakkan jawatannya pada Februari 2020 susulan Langkah Sheraton yang membawa kepada kemunculan Kerajaan Perikatan Nasional ketika itu.