Sindiket Palsukan Sijil Beranak, Doktor & Pegawai Kerajaan Antara 12 Diberkas SPRM
KUALA LUMPUR, 08 Jun 2023 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberkas 12 individu termasuk doktor perubatan dan pegawai agensi kerajaan selepas didakwa terlibat dalam sindiket pemalsuan sijil kelahiran.
Lapor media tempatan, 12 individu tersebut terdiri daripada dua pegawai agensi kerajaan, empat doktor perubatan swasta dan enam orang awam. Mereka dipercayai terlibat dalam pemalsuan sijil kelahiran untuk mendaftarkan anak angkat sebagai anak kandung.
Kesemua suspek yang berusia antara 42 hingga 81 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam dalam serbuan berasingan di beberapa kawasan di Lembah Klang.
Pengarah bahagian risikan SPRM, Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM 2009. Katanya, kesemua suspek akan dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman.
BACA JUGA: Menteri Kecam Tindakan Jocelyn Chia, Pelawak Hina Malaysia & MH370
BACA JUGA: Jenaka Hina Malaysia & MH370: NGO Gesa Halang Pelawak Masuk Malaysia Seumur Hidup
BACA JUGA: Amri Che Mat: Kerajaan Merayu Arahan Mahkamah Tinggi Untuk Dedah Laporan
Sementara itu, sumber mendedahkan bahawa pemohon akan membayar rasuah kepada doktor di klinik tertentu, secara peribadi atau melalui orang tengah, bagi memperoleh sijil kelahiran palsu.
Kemudian doktor akan menandatangani borang pengesahan kelahiran di klinik, walaupun proses kelahiran tidak berlaku di situ.
“Dengan pengesahan ini, pemohon atau orang tengah akan menguruskan pendaftaran kelahiran anak itu. Sekiranya timbul sebarang keraguan, pemohon akan diberitahu bahawa permohonan itu tidak dapat diproses dan dia mesti menunggu untuk tindakan selanjutnya.”
Tambah sumber, kaunter agensi kerajaan akan merujuk permohonan kepada Bahagian Siasatan Khas untuk membuka fail siasatan.
Pemohon atau orang tengah kemudiannya akan cuba berurusan dengan pegawai agensi kerajaan, namun sekiranya mereka ditolak atau disenaraihitamkan, mereka akan cuba untuk merasuah pegawai terlibat untuk mendapatkan kelulusan.
Difahamkan, setiap kes pemalsuan sijil kelahiran melibatkan wang rasuah bernilai RM2,000 hingga RM6,000.