Pengampunan Diraja Dan Semakan Keputusan Mahkamah Persekutuan Terletak Di Bawah Bidang Kuasa Berbeza – Peguam
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 09 September 2022 – Peguam S Selvam memaklumkan bahawa pengampunan diraja dan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan adalah dua perkara berasingan yang terletak di bawah bidang kuasa yang berbeza.
Senada dengan beliau, Peguam New Sin Yew mengatakan bahawa pengampunan diraja dan semakan kehakiman Mahkamah Persekutuan adalah tidak eksklusif.
“Ia adalah proses yang berasingan sama sekali. Apabila anda memohon pengampunan diraja, anda tidak terhad kepada faktor undang-undang. Ia boleh menjadi atas belas kasihan, ia boleh berlaku untuk perkara yang tidak boleh diterima di mahkamah, jadi ia tidak ada peraturan ketat dalam petisyen pengampunan.”
Peguam New Sin Yew juga menjelaskan bahawa pengampunan diraja tidak dikawal oleh mana-mana undang-undang.
Minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan petisyen pengampunan diraja iaitu difailkan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah dijatuhkan terhadapnya, sekali gus status Najib Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan hanya akan ditentukan selepas proses pengampunan itu selesai.
Bekas Perdana Menteri itu disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, lapor samudera.my.