Pengampunan Diraja: Agong Bertindak Mengikut Nasihat Lembaga Pengampunan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2022 – “Seri Paduka Baginda perlu bertindak mengikut nasihat Lembaga Pengampunan sama ada untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum terhadap Najib, atau hukuman dikekalkan apabila permohonan ditolak,” menurut Pakar Perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
Menjelaskan lagi mengenai permohonan pengampunan diraja kepada Yang di-Pertuan Agong selepas hukuman dijatuhkan, beliau berkata Lembaga Pengampunan perlu terlebih dahulu menimbangkan pendapat bertulis Peguam Negara sebelum menyembahkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.
Seterusnya, Yang di-Pertuan Agong boleh juga meremit, menggantung atau meringankan hukuman, ujar Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
Walau bagaimanapun, beliau yang juga Pengasas Jurisprudens Watan dari UMP berkata, ianya terpulang kepada Najib untuk membuat permohonan tersebut kerana diperuntukkan oleh undang-undang negara ini.
Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Sehari selepas bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara, satu kumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak yang diwakili Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul berhimpun di luar Istana Negara, bagi menyerahkan memorandum memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.