SPRM Siasat Lima Bank Utama Jadi Transit Wang Haram
PUTRAJAYA, 17 Mac 2023 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat lima bank utama negara yang dipercayai menjadi transit transaksi wang haram ke luar negara.
Lapor media tempatan, Operasi Tropicana (Op Tropicana) mendedahkan bahawa sindiket penipuan antarabangsa membuat transaksi tersebut melalui akaun-akaun bank berkenaan sehingga mencecah RM1 juta sehari.
Sekurang-kurangnya 20 kakitangan bank terlibat, termasuk pegawai kaunter hadapan dan juruaudit bank, bagi memudahkan proses sindiket membuka akaun yang akan digunakan untuk mengutip wang tunai yang didepositkan oleh mangsa jenayah berkenaan.
Dianggarkan 20 hingga 30 akaun dibuka dan ia akan ditutup semula selepas tiga bulan, sebelum membuka akaun baru. Sebagai ganjaran menjalankan ‘tugas’ tersebut, pegawai bank dibayar hingga RM2,000 bagi setiap akaun bank yang berjaya dibuka untuk sindiket.
Selain itu, pegawai bank juga dipercayai akan ‘menutup mata’ terhadap sebarang laporan mencurigakan pada akaun tersebut sekali gus mengakibatkan sindiket mampu mengaut keuntungan kira-kira RM200 juta dalam tempoh tiga bulan.
BACA JUGA: Pengarah & Pelakon ‘Mentega Terbang’ Terima Ugutan Bunuh, Polis Sedang Siasat
BACA JUGA: Ziarah Rumah Ibadat Bukan Islam Bercanggah Dengan Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 – MAIS
BACA JUGA: Kerajaan Mula Guna Getah Tempatan Untuk Turap Jalan
Siasatan SPRM turut mendapati kebanyakan mangsa merupakan warga Australia dan United Kingdom (UK) malah sumber menyebut, bank-bank yang terlibat kesemuanya beroperasi di ibu negara.
“SPRM juga sudah mengenal pasti tujuh hingga lapan syarikat palsu yang diwujudkan sindiket penipuan sebagai cara untuk membuka akaun bank di negara ini,” ujar laporan.
Tambah sumber, syarikat-syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) digunakan untuk mempromosikan skim pelaburan palsu bagi menjerat mangsa.
Mengulas lanjut, siasatan mendedahkan sindiket ini aktif di beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Hong Kong dan UK. Sindiket ini turut dipercayai merasuah beberapa agensi penguatkuasa bagi memastikan operasi mereka berjalan lancar sejak 2019.