Tempatan

Jalan Utama di Melaka Ditutup 6 Jam Mulai Sabtu Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MELAKA, 17 Ogos 2023 – Sebahagian jalan utama pelancongan di Melaka akan ditutup selama enam jam bermula pukul 6 petang sehingga 12 tengah malam mulai Sabtu ini bagi tempoh percubaan zon bebas kenderaan yang akan dilaksanakan di negeri ini tidak lama lagi.

Jalan terlibat adalah dari Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja – Lorong Gereja- Jalan Laksamana- sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob (sebahagian jalan untuk laluan kenderaan) – Jalan Merdeka (sebahagian jalan untuk laluan kenderaan ) – Jalan Parameswara.

BACA JUGA: Varian Baharu COVID-19: Jemaah Umrah Digalakkan Pakai Pelitup Muka Di Dua Masjid Suci

BACA JUGA: Pindah Bahan Batuan Secara Haram, Lapan Termasuk Lima PATI Ditahan

BACA JUGA: Isu Kos Sara Hidup: Kementerian Beri Tambang Bas Percuma Di 3 Negeri

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, tempoh percubaan itu dilaksanakan di bawah program ‘Ride n Run’ yang diadakan pada setiap minggu bermula Sabtu ini.

“Jalan akan mula ditutup dari Bangunan Stadthuys sehingga Menara Taming Sari, manakala sebahagian jalan pula ditutup dari Menara Taming Sari sehingga Memorial Perisytiharan Kemerdekaan.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Program Kibar Jalur Gemilang di Dewan Taming Sari, pada Rabu.

Jelasnya, penutupan jalan itu hanyalah tempoh percubaan dan tidak melibatkan sebarang perpindahan melibatkan para peniaga.

“Dalam tempoh percubaan ini, kita nak lihat bagaimana sambutan rakyat dan pelancong, apakah masalah yang timbul untuk kita pastikan lihat Melaka car free zone boleh dilaksanakan nanti.”

Dalam pada itu, MBMB turut memaklumkan akan berlaku perubahan pada aliran trafik di sebahagian Jalan Temenggong iaitu bermula dari Persimpangan Jalan Bendahara hingga Persimpangan Lorong Bukit Cina, Bandar Hilir.

Menurut makluman itu, pengguna dari Jalan Bendahara boleh mengambil laluan alternatif susur ke kiri untuk ke bulatan Bukit Cina menghala ke Bangunan Tabung Haji atau susur kanan ke Jalan Bunga Raya.

“Sila rancang perjalanan anda dan berhati-hati semasa memandu,” kata MBMB.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: