Latihan Kecemasan, Laluan Ipoh Utara-Selatan Ditutup Esok – PLUS
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 29 November 2022 – Laluan Ipoh Utara dan Ipoh Selatan (Arah Selatan) di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) akan ditutup bermula esok untuk latihan simulasi kecemasan.
Menurut PLUS, penutupan penuh laluan di antara Tol Plaza Ipoh Utara dan Tol Plaza Ipoh Selatan itu akan bermula dari pukul 10 pagi hingga 2.30 petang, esok, 30 November 2022.
Latihan simulasi itu diadakan untuk menguji tahap kecekapan, masa tindak balas dan tindakan diambil oleh PLUS, pasukan penyelamat serta agensi yang terbabit dalam menghadapi situasi kecemasan dan memeriksa aliran proses prosedur keselamatan di lebuh raya.
“Sepanjang tempoh tersebut, pengguna daripada utara/Kuala Kangsar yang menghala ke selatan/Kuala Lumpur akan dilencongkan ke Plaza Tol Ipoh Utara dan seterusnya dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Persekutuan (FT240) iaitu Jalan SUSUR Jelapang-Ampang sepanjang latihan simulasi tersebut berlangsung. Pengguna boleh meneruskan perjalanan ke Selatan dengan memasuki semula Lebuhraya Utara-Selatan menerusi Plaza Tol Ipoh Selatan,” kata PLUS Malaysia dalam Facebooknya.
Berikutan itu, pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan Ipoh Utara-Ipoh Selatan (Arah Selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka susulan penutupan sementara laluan tersebut.