Tempatan

Fenomena Banjir Termenung, Penduduk Jasin Resah Mohon Bantuan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JASIN, 29 Oktober 2022 – Penduduk di Kampung Lanchang, Sungai Rambai gelisah berikutan fenomena air termenung akibat bah yang melanda sejak 8 Oktober lalu masih tidak berkesudahan.

“Sampai bila kami penduduk di lapan buah rumah harus berdepan dengan masalah banjir termenung ini? Sudah 20 hari halaman rumah digenangi air,” kata Amran, 45.

Katanya, dek kerana keadaan air termenung setinggi hampir setengah meter, penduduk setempat terpaksa meletakkan kereta dan motosikal di bahu jalan utama kerana laluan ke rumah tidak boleh dilalui.

Perkara itu sekali gus menyukarkan anak-anak ke sekolah kerana perlu meredah air sewaktu pergi dan balik.

Lebih mengejutkan, katanya sejak Januari lalu sudah lima kali mereka berdepan banjir termenung manakala kejadian kali ini adalah paling teruk pernah dialami.

Menurutnya, aduan telah dibuat kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.

“Masalah masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini dan situasi itu menyebabkan kami mengalami kerugian yang banyak, akibat kerosakan harta benda apabila kawasan ini kerap dilanda banjir,” jelasnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: