Tempatan

“Jika Tiada Sijil Halal, Jangan Promosi Atau Iklankan Bufet Ramadan Halal” – Norena Jaafar

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MELAKA, 06 April 2022 – “Jika tiada sijil halal, jangan promosi atau iklankan bufet Ramadan halal. Jangan menipu pengguna atau berisiko mendapat kompaun.”

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Norena Jaafar dalam satu kenyataan media melalui laporan portal berita New Straits Times pada beberapa hari lalu.

Beliau memberi peringatan tegas kepada pengusaha hotel dan premis di Negeri Melaka agar tidak mempromosikan bufet Ramadan sekiranya tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia kerana ia boleh mengelirukan orang ramai khususnya pengguna Islam.

Dalam pada itu, bermula 3 April 2022, beliau memaklumkan bahawa seramai 96 pegawai penguatkuasa akan digerakkan ke bazar Ramadan, pasar pagi, serta hotel dan premis yang menawarkan bufet Ramadan.

Berdasarkan pemantauan bufet Ramadan di beberapa premis, kementerian itu akan mengenal pasti jika terdapat unsur manipulasi harga yang agak keterlaluan.

“Kita percaya selepas dua tahun tidak dapat beroperasi di bazar Ramadan, ada antara peniaga atau pengusaha hotel mengambil kesempatan menaikkan harga makanan sehingga membebankan pengguna.”

“Sebagai contoh, kita hendak lihat sama ada harga minuman sebelum ini pada RM3 akan dinaikkan kepada RM5,” ujar beliau.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka itu menyuarakan kebimbangan beliau mengenai kenaikan harga makanan terutama pada hujung minggu berbanding hari biasa apabila pengusaha hotel mula menyasarkan pelancong asing.

“Saya difahamkan bahawa kebanyakan hotel di Melaka telah ditempah sepenuhnya bermula semalam hingga Isnin, berikutan pembukaan semula sempadan negara yang menyaksikan pelancong datang ke Malaysia dari Thailand dan Singapura.”

“Jangan membebankan pengguna, apatah lagi dalam keadaan sekarang ini, ketika ekonomi masih pulih,” kata Norena.

Dimaklumkan, lebih 2,200 orang pegawai penguatkuasa dan kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga kementerian akan ditugaskan bagi memantau bazar Ramadan di seluruh negara berikutan dari jangkaan kenaikan harga makanan yang akan berlaku.

Leave a Reply

Back to top button