Antarabangsa

Dipenjara Sejak Umur 13 Tahun, Banduan Palestin Hidap Sakit Mental Serius

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

RAMLA, 20 Jun 2022 – Ahmad Manasra, seorang banduan Palestin berumur 20 tahun disahkan menghidap masalah kesihatan mental serius akibat dipenjara oleh pihak zionis Israel sejak 7 tahun lalu, ketika berusia 13 tahun.

Lapor Amnesty International, Israel telah digesa untuk membebaskan Ahmad Manasra yang menghidap skizofrenia, mengalami khayalan psikotik dan tertekan dengan pemikiran untuk bunuh diri.

“Apa lagi yang tinggal? Mereka telah menyeksa anak saya sejak dia kecil, sejak dia berumur 13 tahun! Mereka menyeksanya dengan seksaan berat. Anak saya telah mengalami penindasan yang paling teruk, saya minta semua yang boleh tolong anak saya, budak kecil yang tidak bersalah, untuk membantunya, untuk menyokongnya. Kerana keadaan Ahmad sengsara. Keadaannya menyayat hati,” luah ibu Ahmad menerusi sebuah rakaman di laman Twitter.

Rabu lalu, Ahmad dipindahkan ke hospital penjara Ramla kerana keadaan mentalnya yang kian merosot.

Ketika lawatan pemeriksaan keadaan Ahmad, peguam, Khaled Zabarka turut memaklumkan bahawa Ahmad gagal berkomunikasi secara lisan atau visual dan menunjukkan simptom penyakit serius serta keletihan. Beliau turut mendapati kesan luka di kedua tangan kanan dan kiri Ahmad, lapor Middle East Monitor.

Pada tahun 2015, zionis Israel telah menangkap Ahmad, menyoal siasat dan mengugutnya kejam tanpa kehadiran seorang peguam. Ahmad dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun, namun dikurangkan kepada 9 tahun kerana cubaan membunuh 2 warga Israel di Pisgat Zeev, sebuah penempatan haram Israel di kawasan pendudukan Baitulmaqdis Timur.

Walaupun mahkamah mendapati bahawa Ahmad tidak terlibat dalam insiden pembunuhan itu dan berada di bawah umur minimum untuk tanggungjawab jenayah, remaja itu tetap disabitkan dengan cubaan membunuh pada tahun 2016.

Dalam pada itu, Ahmad ditempatkan dalam kurungan bersendirian bermula November 2021. Walaupun keadaan mentalnya semakin teruk semasa dipenjara, Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) telah memfailkan permohonan lanjutan tempoh kurungan bersendirian kepada Mahkamah Daerah Beersheba April lalu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: