Putera Mahkota Saudi Tuntut Hentikan Eksport Senjata Ke Israel
ISTANBUL, 22 November 2023 – Putera Mahkota Saudi, Mohammed Bin Salman menuntut agar pengeksportan senjata ke Israel dihentikan, sewaktu sidang kemuncak BRICS yang berlangsung secara dalam talian, semalam.
Kata beliau dalam satu video yang dimuat naik di platform X Al Ekhbariya News, kekejaman melampau terhadap orang awam yang tidak bersalah dan pemusnahan fasiliti dan infrastruktur termasuk fasiliti kesihatan dan tempat-tempat ibadah sedang berlaku di Gaza.
🎥 | HRH the Crown Prince Mohammed bin Salman Speech at the Extraordinary Joint Meeting of #BRICS Leaders and leaders of invited BRICS members on the situation in the #MiddleEast, with particular focus on #Gaza#EKHNews_EN pic.twitter.com/hgRUyXph7E
— AlEkhbariya News (@EKHNews_EN) November 21, 2023
Sehubungan itu, semua pihak perlu bersatu untuk menghentikan bencana kemanusiaan itu yang semakin buruk dari hari ke hari dan mencari penyelesaian yang kukuh.
“Kami mengesahkan penolakan tegas kami terhadap operasi-operasi ini yang telah merenggut nyawa ribuan kanak-kanak, wanita, dan warga emas. Kami menuntut operasi ketenteraan dihentikan serta-merta dan menyediakan koridor kemanusiaan untuk melepaskan penduduk awam dan membolehkan organisasi kemanusiaan antarabangsa menjalankan peranan mereka.”
Jelas beliau, pihak kerajaan telah melakukan usaha tanpa henti sejak awal operasi untuk membantu dan melindungi penduduk awam di Gaza dengan menyediakan bantuan kemanusiaan serta bantuan kecemasan melalui udara dan laut di samping turut melancarkan kempen derma awam dalam kadar segera dengan jumlah lebih separuh bilion Riyal Saudi.
Malah, katanya pihak kerajaan juga telah mengadakan satu sidang kemuncak bersama Arab-Islam di Riyadh pada 11 November 2023 untuk menangani keganasan Israel. Sidang tersebut mendatangkan beberapa keputusan yang mengecam keganasan Israel terhadap Gaza dan menolak sebarang alasan yang membenarkannya, seraya menyeru untuk penghantaran segera konvoi bantuan kemanusiaan, termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan api ke Gaza.
“Ia juga menolak pemindahan paksa rakyat Palestin dan pemusnahan Israel ke atas hospital-hospital di Gaza, menyeru semua negara untuk menghentikan pengeksportan senjata dan amunisi ke Israel, dan mengambil inisiatif atas nama semua anggota Pertubuhan Negara-Negara Islam Dunia dan Liga Negara Arab untuk mencapai satu pendirian antarabangsa mengenai keganasan di Gaza serta memberikan tekanan untuk memulakan satu proses politik yang serius bagi mencapai perdamaian yang kekal dan menyeluruh, berdasarkan keabsahan antarabangsa.”
Ujar beliau lagi, pendirian pihak kerajaan kekal tetap dan tidak berubah bahawa keselamatan dan kestabilan di Palestin hanya dapat dicapai melalui pelaksanaan resolusi antarabangsa mengenai penyelesaian dua negara, bagi membolehkan rakyat Palestin mendapatkan hak mereka yang sah untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dalam sempadan tahun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.