Hamas Seru Dunia Hantar Pasukan Pertahanan Awam, Bantu Keluarkan Mayat Syuhada’
BEIRUT, 29 November 2023 – Pemimpin Gerakan Perjuangan Islam Hamas, Osama Hamdan menyeru negara seluruh dunia segera menghantar pasukan pertahanan awam dan peralatan khas untuk membantu membuang runtuhan dan mengeluarkan mayat para syuhada’ daripadanya.
Memetik kenyataan Osama dalam sebuah sidang media di Beirut semalam, pertahanan awam di Semenanjung Gaza tidak berupaya berbuat demikian memandangkan tahap kemusnahan yang berlaku akibat pengeboman rejim Zionis Israel sehingga terdapat ribuan mayat di bawah runtuhan.
Pemimpin itu juga menyeru wartawan dan agensi media antarabangsa untuk mempergiatkan kehadiran mereka di Semenanjung Gaza bagi melihat sejauh mana kemusnahan dan tanda-tanda genosid yang dilakukan tentera pendudukan terhadap kanak-kanak, orang awam dan semua infrastruktur di sana.
Beliau turut menyeru Elon Musk melawat Semenanjung Gaza dan melihat kekejaman tentera Zionis sekali gus menjauhi dasar berat sebelah atau double standard dalam menangani isu rakyat Gaza dan hak mereka yang sah.
Sehubungan itu, Osama berkata, “Ancaman pendudukan Israel untuk menyambung semula perang adalah kosong dan untuk kegunaan domestik, terutamanya kerana tenteranya tidak menjejakkan kaki pada 80% daripada tanah Gaza dan itu tidak akan berlaku.”
Pendudukan haram Israel juga dipercayai tidak mendedahkan kebenaran sebenar mengenai jumlah askar mereka yang terbunuh dan cedera, malah Osama memberi amaran bahawa kerugian musuh akan meningkat pada hari-hari mendatang.