Tempatan

Darurat: Berhenti Tohmah YDPA – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak agar berhenti mentohmah dan memfitnah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam isu perisytiharan darurat.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak supaya berhenti melemparkan tohmahan yang tidak berasas terhadap keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan Proklamasi Darurat.”

“Kerajaan telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku selepas Tuanku berpuas hati bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.”

Ujar Muhyiddin, proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai tujuan lain, selain membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat.

“Proklamasi darurat dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong bertujuan memberikan bidang kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.”

Tambahnya, tindakan serta-merta sedang diambil kerajaan mengikut peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa.

Dalam masa yang sama, beliau juga memberi jaminan akan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya apabila tiba masa yang sesuai.

Perisytiharan darurat oleh YDPA yang berkuat kuasa dari 12 Januari hingga 1 Ogos 2021 menjadi polemik selepas beberapa pihak membantah proklamasi tersebut dan mendakwa Muhyiddin bersembunyi di belakang YDPA untuk kekal berkuasa.

Pihak-pihak terbabit juga mempersoalkan tindakan kerajaan menggantung Parlimen.

Terbaru, sebanyak tujuh NGO memfailkan saman mencabar perisytiharan darurat  yang disifatkan mereka sebagai tidak berperlembagaan.

Dakwa tujuh NGO ini, kerajaan tiada keperluan untuk menggantung Parlimen melalui Ordinan Darurat kerana badan dan sektor lain cuma terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button