Tempatan

Kerajaan ‘Caretaker’ Berfungsi Macam Biasa, Namun Tidak Boleh Buat Keputusan Dasar

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 11 Oktober 2022 – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menjelaskan bahawa Kabinet yang diterajui Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob boleh berfungsi seperti biasa namun Kerajaan sementara atau ‘caretaker’ itu tidak boleh membuat keputusan mengenai dasar dan polisi baharu.

Beliau berkata, walaupun Parlimen telah dibubarkan semalam, Mesyuarat Kabinet masih boleh dijalankan seperti biasa tetapi Kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

Selain itu, Kabinet juga boleh meneruskan pelaksanaan dasar dan keputusan yang telah dibuat sebelum Parlimen dibubarkan.

Menjelaskan dengan lebih terperinci, beliau berkata dalam keadaan sekarang, hanya Parlimen sahaja yang dibubarkan.

Justeru, Jemaah Menteri masih lagi boleh bermesyuarat terutama apabila berlaku bencana dan sebagainya.

Ini kerana keadaan ketika ini berbeza dengan pentadbiran terdahulu apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada 2020 dan 2021, dan dengan serta merta Kabinet mereka terbubar.

Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam, mengesahkan bahawa Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin, 10 Oktober 2022.

Sejurus selepas pengumuman pembubaran Parlimen, Istana Negara mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang berkenan menerima menghadap YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri di Istana Negara pada 9 Oktober 2022 untuk memohon pembubaran Parlimen.

Walau bagaimanapun dalam kenyataan tersebut, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan YAB Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih Kerajaan yang stabil.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: