Tempatan

Pahang Negeri Terawal Terima Islam – Agong

Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

KUANTAN, 22 Mac 2021 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Pahang adalah antara negeri terawal yang menerima agama Islam berdasarkan kepada Makam Permatang Pasir yang bertarikh 1028 iaitu lebih awal dari tarikh Batu Bersurat Terengganu 1303 dan Melaka 1400.

Penemuan itu bukan sahaja untuk menyatakan Pahang adalah negeri terawal yang menerima Islam, tetapi juga penting untuk menunjukkan bahawa ajaran Islam jauh lebih awal telah bertapak di Alam Melayu.

“Justeru penemuan seperti ini perlu diketengahkan bagi memperbaiki hasil kajian sebelumnya,” titah baginda sempena Majlis Persembahan Taklimat Cadangan Menandatangani Memorandum Persetujuan Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah di Kutub Khanah Diraja Kuantan, hari ini.

Titah baginda lagi, sejarah adalah perkara penting sebagai asas untuk membangunkan sesebuah tamadun manusia. Justeru, cadangan mewujudkan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah amat tepat pada masanya, memandangkan masyarakat mula dilalaikan dengan cara hidup moden yang melekakan.

“Sejarah adalah perkara penting sebagai asas untuk membangunkan sesebuah tamadun manusia. Oleh sebab itu, penulisan semula sejarah tanah air amat penting bagi membetulkan penulisan sejarah yang dibuat oleh orientalis terutama ketika penjajahan British di Tanah Melayu.”

Tambah baginda lagi, “Saya percaya pusat kajian ini bukan sahaja boleh menjadi entiti penting untuk melengkapkan peranan muzium sebagai pusat pendidikan dan rujukan tetapi juga membolehkan segala bahan sejarah dan budaya Negeri Pahang khasnya dan Malaysia amnya akan dapat dikaji dengan lebih mendalam.”

Titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, penubuhan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah ini dilihat sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang yang penting untuk memastikan generasi hari ini dan akan datang dapat mengenali dan menghargai sejarah serta jati diri mereka sendiri.

Dalam pada itu, baginda turut menaruh harapan yang tinggi supaya pusat ini bukan semata-mata akan menjadi pusat rujukan untuk universiti tempatan dan luar negara tetapi memberi manfaat kepada seluruh rakyat yang berminat untuk mengetahui sejarah tanah air.

“Melalui pusat kajian ini juga, ruang dan peluang yang lebih besar akan dapat dimanfaatkan oleh pengkaji tempatan dan luar negara untuk menyelidik, menerokai dan memahami sejarah tanah air.”

“Apa yang kita usahakan hari ini bukanlah untuk kita, tetapi untuk anak cucu yang bakal mewarisi bumi Malaysia seperti apa yang kita ada sekarang adalah atas usaha yang dilakukan oleh datuk nenek kita beratus-ratus tahun dahulu.”

Turut hadir dalam majlis hari ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button