Tempatan

Darurat: Beri YDPA Leluasa Lantik Profesional Selamatkan Negara – Ustaz Engku Ahmad Fadzil

KUALA LUMPUR – “Sepatutnya apabila darurat dilaksanakan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hendaklah diberikan leluasa untuk melantik barisan pentadbiran baru yang profesional dan berkepakaran tinggi yang pada hemat baginda boleh menjalankan misi mengeluarkan negara dari kemelut bahaya akibat ancaman kesihatan, ekonomi dan politik sesegera mungkin.”

Demikian jawapan yang diberi Ustaz Engku Ahmad Fadzil, Pengarah HatiMurni Sdn Berhad (HatiMurni Enrichment Transit Centre) kepada pihak Samudera.my dalam isu perisytiharan darurat.

Ujarnya, YDPA mempunyai kuasa mengisytiharkan darurat seperti yang termaktub dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seperti berikut: ‘Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian’.”

Mengulas mengenai benarkah pihak kerajaan bebas melaksanakan apa sahaja tanpa perlu melalui sidang Parlimen sepanjang tempoh darurat, Ustaz Engku Ahmad Fadzil berkata,

“Sememangnya, di bawah pengisytiharan darurat, bahkan di luar darurat sekalipun pun, banyak sahaja perkara-perkara yang boleh dilakukan oleh kerajaan Malaysia tanpa perlu melalui sidang Parlimen. Cuma bila darurat diisytiharkan, perkara ini dijadikan modal politik pihak-pihak berkepentingan untuk memberikan persepsi negatif kepada keadaan darurat yang diisytiharkan.”

Oleh hal yang demikian, dakwaan bahawa darurat yang dilaksanakan sekarang ini kononnya darurat politik adalah satu manipulasi sebenarnya.

“Dakwaan bahawa darurat diisytiharkan untuk melindungi kerajaan PN, kalau difokuskan “sebagai kerajaan PN” secara khusus, saya lihat lebih kepada manipulasi persepsi oleh ahli-ahli politik yang bersaing untuk mendapatkan kuasa,” tegas Ustaz Engku bagi menutup perbualan.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button