Tempatan

Agong Sertai Operasi SAR Tentera Hilang Di Sungai Pahang

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

BERA, 31 Ogos 2021 – KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang semasa mengikuti Eksesais PARA Predator siri 1/2021 pada Ahad lepas.

“Menzahirkan keprihatinan Baginda, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli berangkat meninjau dan menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas yang melibatkan seorang anggota Tentera di Kampung Bohor Baru di Bera, Pahang, hari ini,” begitu kenyataan dari Facebook Istana Negara.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 3.45 petang disambut Panglima Tentera Darat, Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Sri Norolazali bin Sulaiman.

Al-Sultan Abdullah, yang mengenakan seragam tentera darat, mencemar duli menaiki bot disediakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang pada 4.40 petang ketika hujan renyai sebelum bertukar lebat kira-kira 10 minit selepas Seri Paduka menyertai operasi SAR Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa.

Seri Paduka Baginda, yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera (ATM), turut berkenan menerima persembahan taklimat oleh Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Khairul Azmizal bin Ahmad Natal dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Ir. Haji Wan Mohamad Zaidi bin Wan Isa.

Dalam lawatan selama satu jam setengah itu, Seri Paduka Baginda berkenan meluangkan masa menyantuni keluarga mangsa dan menzahirkan rasa simpati Baginda kepada keluarga mangsa.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi Baginda kepada keluarga mangsa bagi mengurangkan beban mereka,” tambah kenyataan itu lagi.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar keluarga mangsa tabah dan sabar menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.”

Keberangkatan Seri Paduka Baginda hari ini mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Baginda terhadap rakyat, khususnya golongan yang memerlukan dan ditimpa musibah.

Lans Koperal Mohamad Azrin bin Mohamad Isa seorang anggota Tinjau dari Pasukan Kompeni PANDURA (PARA), dipercayai lemas ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021 pada 29 Ogos lalu.

Eksesais Para Predator merupakan salah satu eksesais yang dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Briged (PARA) yang berpengkalan di Kem Terendak, Melaka dalam tempoh 14 hari melibatkan seramai 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik Tentera Darat Malaysia.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button