Tempatan

Memoir Berniat Jahat, Pembela Gesa Tindakan Undang-Undang

Kuala Lumpur: Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Hj. Aminuddin Yahaya pada hari ini telah mengeluarkan suatu kenyataan tegas menyarankan agar kesemua pihak yang terkait dengan buku tulisan Tan Sri Tommy Thomas, mengambil tindakan perundangan yang sewajarnya terhadap mantan Peguam Negara tersebut.

Aminuddin menegaskan, “PEMBELA mengecam sekeras-kerasnya segala naratif palsu dan penghinaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu di Malaysia.”

Sambil menyifatkan perkara ini sebagai suatu perlakuan yang sangat serius, beliau menambah, “Ini pastinya akan menggalakkan lagi kebiadapan sebegini dalam kalangan orang awam terhadap institusi Raja-Raja Melayu.”

PEMBELA menegaskan bahawa terdapat pelbagai penyelewengan sejarah, manipulasi fakta dan unsur-unsur hasutan yang perlu disiasat dan diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa sebelum buku tersebut tersebar luas di kalangan masyarakat awam.

Pengerusi PEMBELA tersebut turut menyatakan penulisan-penulisan dalam buku tersebut jelas turut menghina dan memberikan gambaran yang salah terhadap penjawat awam, sistem perundangan negara dan masyarakat Melayu melalui pelbagai naratif palsu dan melampau.

Tambah beliau lagi, “Saman fitnah juga harus dipertimbangkan kerana mengeluarkan tulisan yang memfitnah pelbagai pihak.”

Menurut kenyataan tersebut lagi buku tersebut jelas telah menghina mahkamah dan bersifat subjudis.

Sambil memberikan contoh mengenai kes kematian Allahyarham Adib yang diberikan satu bab khusus dalam buku tersebut, beliau berkata, “Bab khusus tersebut adalah satu penipuan kerana Tommy Thomas gagal menghormati keputusan inkues dan Mahkamah Koroner yang menyatakan Adib tidak mati dilanggar,”

“Ini adalah suatu tindakan tidak berintegriti lebih-lebih lagi kedudukan beliau sebagai mantan Peguam Negara,” tambah beliau.

PEMBELA mendesak supaya pihak berkuasa membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap Tommy Thomas dan juga SIRD sebagai penerbit buku tersebut dan menuntut permohonan maaf daripada kedua-duanya kepada rakyat Malaysia dan satu permohonan maaf khusus kepada keluarga Allahyarham Adib.

Saranan itu dikeluarkan setelah PEMBELA yang merupakan gabungan NGO-NGO Islam utama di Malaysia meneliti buku tulisan Tommy Thomas yang berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) dan mendapati ia berniat jahat.

Kelmarin, pengasas Gerakbudaya Chong Ton Sin yang juga merupakan badan penerbit SIRD bagi memoir kontroversi terbabit telah tampil memberikan keterangan di Bukit Aman selepas pegawai Kementerian Dalam Negeri mengunjungi kedai buku syarikat tersebut di Petaling Jaya.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button