Tempatan

Perisytiharan Darurat: 7 NGO Saman Kerajaan

KUALA LUMPUR – Tujuh badan bukan kerajaan (NGO) telah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia susulan perisytiharan darurat yang disifatkan mereka sebagai tidak berperlembagaan.

Tujuh NGO tersebut adalah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Center for Independent Journalism (CIJ), Aliran, Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) dan Save Rivers.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann mendakwa, tindakan litigasi tersebut adalah demi kepentingan umum untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan sistem semak imbang serta untuk mendapatkan keputusan badan kehakiman berkenaan isu-isu terkait Ordinan Darurat.

“Kami bimbang perisytiharan darurat dan Ordinan Darurat telah menyebabkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak dapat memenuhi kewajiban perlembagaan mereka sebagai tempat perbahasan dan pengundian bagi Ordinan Darurat.”

“Kami ingin mahkamah mengisytiharkan sekiranya mereka mempunyai kuasa untuk menyemak sebarang percubaan untuk memintas peruntukan perlembagaan yang memerlukan semua undang-undang dibawa ke Parlimen terlebih dahulu.”

Tambahnya, kerajaan tiada keperluan untuk menggantung Parlimen melalui Ordinan Darurat kerana badan dan sektor lain cuma terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami juga khuatir kesan utama Ordinan Darurat adalah penggantungan Parlimen sedangkan kerajaan, badan kehakiman dan sektor swasta berjalan seperti biasa, dengan terikat dengan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa.”

Saman difailkan oleh Tetuan AmerBon dengan menamakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button