NGO

BENTENGI INSTITUSI RAJA MELAYU DARI TERCALAR!

Sollu ‘alan Nabiy

BENTENGI INSTITUSI RAJA MELAYU DARI TERCALAR!

28 JANUARI 2021

1.‘Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi’, begitulah kiasan pepatah Melayu yang mencerminkan situasi politik negara kita hari ini. Perisytiharan Darurat yang mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini yang diakui oleh pakar-pakar Perlembagaan negara sebagai terangkum dalam prerogatif baginda selaras dengan peruntukan perlembagaan, telah mencetuskan reaksi negatif daripada beberapa pihak yang masih tidak berpuas hati.

2. Walaupun perbezaan pendapat adalah lumrah manusia, namun perlu difahami bahawa, keputusan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong adalah dalam fungsi baginda sebagai Ketua Utama Negara. Dalam konteks Siyasah Syar’iyyah, ia merupakan suatu bentuk ‘ijtihad Ulil Amri’ yang wajib ditaati kerana keputusan baginda tidak bersalahan dalam konteks Hukum Syariat dan Hukum Negara (melalui Per 150 Perlembagaan).

 3. Adalah suatu yang sangat mendukacitakan apabila hal ini terus-menerus dipolemikkan khususnya oleh sebahagian orang-orang politik, seolah-olah cuba mengajak rakyat untuk mempersoalkan, hatta mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong.

4. Terbaru muncul pula elemen subversif dari pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan membuat ‘character assassination’ kepada Raja-Raja Melayu di media sosial. Sudah tentu mereka mempunyai agenda yang tersembunyi.

5. Saya suka mengingatkan semua pihak bahawa bangsa Melayu terkenal dengan sifat BUDIMAN, dan berwatak AMAN. Apatah lagi orang Melayu itu Islam agamanya, yang menekankan ADAB sebagai jatidirinya. Maka mana-mana orang yang cuba menghasut bangsa ini untuk bersikap BIADAP dengan mempersoalkan, hatta membuat cabaran secara terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong, ini bukan daripada ajaran agama Islam dan adat bangsa kita, bangsa beradab ada cara yang lebih terhormat untuk menyuarakan pendapat kepada Tuanku, mengikut saluran yang betul. Jika tidak tahu bertanyalah kepada alim-ulama bagaimana Rasulullah saw menyantuni Sang Raja, hatta Raja yang non Muslim sekalipun!

6. Saya juga suka mengingatkan tentang adat Melayu yang memegang MUAFAKAT & amalan BERGOTONG ROYONG. Adat ini termasuk Sunnah Rasulullah saw, maka ada keberkatannya. Apabila Yang di-Pertuan Agong sudah melaksanakan SYURA, iaitu berunding dengan Jemaah Menteri dan pakar perlembagaan dan SUDAH MENGAMBIL KEPUTUSAN untuk perkenankan Warta Darurat, ini dinamakan MUAFAKAT ULIL AMRI. Muafakat membawa berkat, maka daripada muafakat tersebut, seharusnya kita BERTAWAKKAL, dan selanjutnya semua warga negara perlu saling bergotong royong dalam posisi masing-masing untuk memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat yang dilanda pelbagai musibah. Allah swt berfirman : “Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Ali Imran: 159)

7. Manakala golongan yang cuba membuat onar dan menghasut rakyat untuk membenci Raja-Raja Melayu dengan membuat serangan peribadi, ini adalah sikap ekstrim dan kebiadapan melampau yang tidak boleh dibiarkan! Ingatlah! Yang dipertahankan adalah INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU, manakala tubuh badan Duli-duli Tuanku adalah mewakili AMANAH INSTITUSI junjungan bangsa ini selama beratus-ratus tahun. Jika ada ‘aib baginda, bukan untuk didedah-dedahkan kepada umum, agama Islam melarang sama sekali perbuatan hina seperti ini! Ada cara yang terhormat untuk menegur dan menasihati pemerintah, sebagaimana ada adabnya untuk menegur orang tua-tua kita, mengikut lunas agama, hukum adat dan hukum negara kita.Bukan untuk disepah-sepahkan di dalam media sosial, apatah lagi belum tentu betul salahnya!

Dikhuatiri di sebalik kenyataan yang berbentuk serangan peribadi itu menyembunyikan unsur ancaman untuk memecah belahkan kesatuan bangsa dan agama kita dengan memijak Institusi Raja Melayu. BENTENGILAH!

Jangan khianati perjuangan nenek moyang kita yang sentiasa menjadi benteng kepada Institusi Raja-Raja Melayu, kerana leluhur kita faham institusi ini adalah TONGGAK KEDAULATAN AGAMA, BANGSA DAN WATAN. Tercalar institusi ini, tercalarlah maruah kita sebagai sebuah bangsa yang berdaulat! Roboh institusi ini hancurlah permuafakatan bangsa Melayu sebagai bangsa PENDOKONG DAN PEMBENTENG ISLAM

8. Akhir kalam saya ingin berkongsi beberapa bait ‘Puisi Rintihan Raja Melayu’, untuk kita renungkan:

Bangsa Melayu tinggi ruhaniyyat,

Dengan Allah diri diikat,

Alam akhirat selalu diingat,

Membuat kebajikan itulah tekad.

Wahai cucunda Raja Melayu sekelian,

Rintihan nenda sila dengarkan,

Tampil kembali sila ke depan,

Bangsa Melayu perlu ketuanan.

Perintah negeri amanat Tuhan,

Telah sedia adat dan aturan,

Pelihara rukun zaman berzaman,

Bangsa Melayu tetaplah aman.

Demi Allah demi RasulNya (SAW),

Cunda semua peganglah daulahnya,

Jadi payungan Melayu semula,

Jadi pelindung adat agama.

Pulihkan semangat, maruah bangsa,

Hakikat Melayu kembalikan bisa,

Institusi Raja terus diperkasa,

Jangan sekali berputus asa.

Ketuanan Islam harap kembalikan,

Kedaulatan watan tolong pulihkan,

Adat, agama jangan pisahkan,

Ia umpama nyawa dan badan.

Raja Melayu menjaga negeri,

Umat Melayu kembali berdiri,

Bersama meredah onak dan duri,

Naungan Allah pasti kembali.

DAULAT TUANKU!

Suzana Hj Othman

Pengerusi

Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam (KEMUDI)

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tiada kaitan dengan pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button