NGO

Demi Kedaulatan Undang-Undang Dan Keluhuran Perlembagaan, Ahli Politik Perlu Segera Mohon Maaf Kepada Agong – PEMBELA Pahang & ISLAMI Pahang

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KENYATAAN MEDIA
PEMBELA NEGERI PAHANG dan ISLAMI NEGERI PAHANG

Beradablah kepada KDYMM Tuanku: Ahli-ahli politik perlu segera memohon maaf demi memelihara kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembangaan!

Kami mewakili PEMBELA NEGERI PAHANG dan ISLAMI NEGERI PAHANG merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah ‘Azza Wa Jalla kerana memiliki Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Pahang Darul Makmur selaku Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang bukan sahaja berjiwa rakyat malah sangat prihatin kepada kesengsaraan yang sedang melanda rakyat ketika krisis pandemik dan politik yang tiada kelihatan tanda-tanda akan surut ketika ini.

Kami juga menjunjung kasih atas keprihatinan KDYMM Tuanku mewakili kesengsaraan kami sebagai rakyat jelata di saat negara dilanda krisis pandemik dan politik yang membuktikan betapa rakyat jelata negeri dan negara ini masih mempunyai tempat untuk mengadu nasib kepada Sultan dan Raja mereka yang tidak disibukkan dengan kepentingan dan survival politik murahan lagi berjangka pendek seperti yang kita saksikan sedang berleluasa ketika ini di persada politik tanah air.

Kami turut berasa sangat kecewa dengan ahli-ahli politik tanah air khususnya ahli-ahli politik Melayu Islam yang telah secara jelas bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukunegara malah telah membelakangkan fungsi dan kuasa KDYMM Tuanku selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kami menjadi lebih kecewa apabila KDYMM Tuanku terpaksa berulang kali menzahirkan rasa dukacita Baginda di atas tindak-tanduk ahli-ahli politik yang mewakili dan bertindak sebagai Kerajaan KDYMM SPB YDPA sendiri yang bukan sahaja tidak menuruti titah perintah KDYMM Tuanku malah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat di bawah kuasa pemerintah KDYMM Tuanku.

Justeru kami mendesak ahli-ahli politik yang terlibat untuk memohon maaf kepada KDYMM Tuanku dengan segera secara terbuka di atas kesilapan besar ini demi memelihara kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembangaan. Dengan permohonan maaf terbuka ini, diharapkan tindak-tanduk tidak beradab seperti ini tidak lagi menjadi contoh ikutan mana-mana orang selepas dari ini. Ahli-ahli politik tanah air khususnya ahli politik Melayu Islam wajib berpegang kepada adat leluhur Melayu Islam kita iaitu “di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung”.

Akhir kalam, kami mewakili PEMBELA NEGERI PAHANG dan ISLAMI NEGERI PAHANG sentiasa merafakkan doa ke hadrat Allah ‘Azza Wa Jalla agar senantiasa mengurniakan hikmah, taufiq, hidayah dan inayah kepada KDYMM Tuanku dalam memerintah watan negeri dan negara kami yang tercinta ini. Semoga dengan himmah KDYMM Tuanku, maka kedaulatan watan negeri dan negara tercinta ini akan terus terpelihara dari anasir-anasir jahat yang cuba melakukan porak-peranda.

Daulat Tuanku!

PEMBELA NEGERI PAHANG dan ISLAMI NEGERI PAHANG

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button