Politik

Darurat: Konsep Derhaka Sekadar Dongeng – Dr Aziz Bari

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

IPOH – “Soal derhaka nampaknya dipusing untuk menakut-nakutkan. Dan seperti yang saya katakan sebelum ini juga, tidak ada dalam tradisi kita derhaka ini.”

Tegas YB Dr Aziz Bari, Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, dalam ulasannya mengenai perutusan warkah pembatalan perisytiharan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


“Sebab berbalik kepada tunjang, kepada Kesultanan Melayu itu sendiri pun, mana ada konsep derhaka, sebab dalam tradisi Islam, mana ada. Sebab sultan Melayu, tradisi ataupun tunjangnya ialah Islam. Dan kalau kita lihat Rasulullah dan para khalifah, khususnya Khulafa’ ar-Rasyidin, tidak ada yang menggembar-gemburkan konsep derhaka. Cuma kita dongeng barangkali sampai kadang-kadang ada raja yang gila seperti yang dibunuh oleh Megat Seri Rama itu pun ada dalam sejarah Melayu.”


Ujarnya, soal derhaka ini sebenarnya sengaja digunakan oleh kerajaan sekarang untuk memesongkan persoalan rakyat mengenai keabsahan dan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ketika ini.

“Ya, saya cenderung untuk bersetuju dengan soalan itu oleh kerana persoalan derhaka ini telahpun dibangkitkan daripada awal lagi semenjak kerajaan Perikatan Nasional ini dilantik. Jadi, waktu itu dibangkitkan soal prerogatif Yang di-Pertuan Agong melantik kerajaan dan jangan dipersoalkan.”


“Jadi kalau dipersoalkan, maknanya derhaka kepada Raja. Dan kita rasakan bahawa fungsi berkenaan adalah fungsi yang disebut dalam Perlembagaan. Jadi, sebagai manusia, kemungkinan silap itu berlaku dan mungkin ada pihak yang merasakan bahawa prosedur ataupun cara pelantikan itu tidak telus. Umpamanya, ada yang bertanya, kenapa tidak disebutkan berapa majoriti yang Tan Sri Muhyiddin ada ketika itu?”

Ujar Adun Tebing Tinggi itu lagi, kuasa perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong sememangnya mempunyai ruang untuk dicabar selain termaktub dalam peruntukan undang-undang di Malaysia.

“Ruang itu masih ada tetapi terpulang kepada peguam nanti bagaimana untuk menghujahkan kes di mahkamah dan tidak kurang pentingnya juga ialah bagaimana hakim meneliti dan juga memikirkan kesan keputusan mereka kepada idea Perlembagaan itu sendiri.”

Tambahnya lagi, Perlembagaan tidak boleh dipinda dan ditafsir sesuka hati.

“Perlembagaan ini tidak semudah kita baca undang-undang yang lain. Kalau undang-undang yang lain, kita boleh pinda apa sahaja dan kita ikut pindaan itu. Tapi dalam Perlembagaan, ada batasan tertentu, dan ini satu perkara yang saya fikir telah berlaku di negara-negara yang lain dan saya fikir Malaysia tidak harus terkecuali atau mengecualikan diri.”

Menurutnya, jika Perlembagaan boleh dipinda dan ditafsir sesuka hati, maka tiada gunanya mewujudkan mahkamah dan melaksanakan semak dan imbang dalam kerajaan.

“Kalau kita tidak sekurang-kurangnya tekan brek, lama-lama kita akan masuk gaung. Ini yang kita nak cuba provok minda supaya kita berfikir. Kalau semudah itu sahaja, tak guna ada mahkamah. Kalau semudah itu, tak guna ada tafsiran. Lebih baik ada kerajaan sahaja dan habis, tak payah ada check and balance, tak payah ada pemeriksaan kuasa dan sebagainya. Itu yang saya fikir perlu disedari oleh rakyat dan mereka mengambil tahu dan juga memerhatikan supaya tidak ada tindakan-tindakan yang melampau.”

Selain menegur ahli politik yang menggunakan istana bagi kepentingan sendiri, Prof Dr Aziz Bari berharap agar parti yang bakal memegang tampuk pemerintahan kelak memberikan ruang kepada Parlimen untuk beroperasi.

“Orang politik jangan gunakan istana untuk mendapatkan legitimasi. Jadi keabsahan itu harus mereka sendiri perjuangkan ataupun buktikan, bukan sesuatu yang didapati ataupun digunakan ataupun berselindung di sebalik takhta. Sekarang nampak sudah melarat kepada soal darurat.”

“Parlimen harus diberikan ruang untuk beroperasi, begitu juga mahkamah, rakyat, media dan sebagainya. Jadi, perkara-perkara seperti ini sebenarnya satu perkara yang sentiasa terancam kalau ada Ordinan Darurat.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: