Terkini

CSO Lancar Protes Pengisytiharan Darurat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – Gabungan organisasi masyarakat madani (CSO) telah melancarkan satu kempen dalam talian untuk memprotes darurat yang diisytiharkan di Malaysia baru-baru ini, demikian menurut laporan Malaysiakini.

Menggunakan tanda pagar #BantahDaruratMuhyiddin, CSO Pentas untuk Pembaharuan menggesa orang ramai untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka di media sosial.

CSO tersebut mendakwa, apabila darurat diisytiharkan, fungsi Parlimen digantung dan negara secara automatik ditadbir melalui kuasa eksekutif sepenuhnya.

“Kuasa eksekutif yang keterlaluan tanpa pengawasan Parlimen atau DUN adalah satu “tragedi dalam pemerintahan.”

“Pemisahan kuasa adalah kunci kepada pemerintahan yang demokratik.”

Oleh itu, CSO tersebut mendesak kerajaan untuk berusaha melandaikan lekuk Covid-19 di Malaysia melalui strategi sedia ada seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bukannya membuka peluang dalam politik.

“[…] Kami mendesak kerajaan untuk tidak mengutamakan oportunisme politik, dan sebaliknya memberi tumpuan untuk melandaikan lekuk COVID-19 dengan langkah-langkah yang ada.”

Sementara itu, Forum Asia untuk Hak Asasi Manusia dan Pembangunan (Forum-Asia) dalam satu kenyataan lain berkata, berdasarkan penelitian mereka, rakyat perlu berwaspada dalam memastikan hak kebebasan yang diperjuangkan tidak dirampas oleh kerajaan dalam tempoh darurat.

Tambah Forum-Asia, penelitian mereka menunjukkan kecenderungan di mana “kerajaan di Asia telah menggunakan kuasa darurat untuk melanggar hak asasi manusia dan untuk menguatkan pegangan kuasa, melalui peningkatan ketenteraan dan sekatan yang keterlaluan.”

“Kita semua harus tetap waspada dan memastikan bahawa kita tidak kehilangan kebebasan yang diperjuangkan kerana ini. Kerajaan harus mendapat mesej bahawa kita semua sedang memerhati.”

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menegaskan bahawa Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara bermula 12 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021 bukan satu bentuk rampasan kuasa tentera, sebaliknya sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: