Tempatan

Jadikan Rumah Bertiang Contoh Pembinaan Rumah Tepi Sungai – YDPA

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

TEMERLOH, 19 November 2021: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan agar reka bentuk rumah bertiang dijadikan contoh pembinaan rumah di tepi sungai selepas ini.

Ia kerana reka bentuk ini juga merupakan salah satu langkah keselamatan sekiranya berlaku banjir.

Titah ini disampaikan selepas Baginda mendengar sembah taklimat daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, YBrs. Ir. Hafizah Zakaria berkenaan pembinaan rumah bertiang kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kurniaan YASA di Kampung Lompat, di sini semalam.

“Pembinaan rumah bertiang memudahkan penduduk jika musim banjir berlaku, di mana ia lebih selamat. Jadi mana-mana rumah yang nak dibina di tepi Sungai Pahang perlu mengambil kira ketinggian dan ia dapat menjadi contoh kepada rumah-rumah yang terdapat di persekitaran, di tepi-tepi sungai ini,” titah baginda.

Di samping itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan sebelum meninjau rumah yang berkeluasan 960 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan tiga bilik air selain tangga di hadapan dan belakang rumah dengan kos RM100,000 sebuah yang dilengkapi perabot dan set bilik tidur.

Baginda kemudiannya berkenan mengurniakan sumbangan kepada dua lagi penerima di Kampung Pangsenam dan Kampung Tanjung Pasir, di sini pada sebelah petangnya, lapor Pahang Media.

Turut berangkat dalam majlis semalam ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: