Tempatan

Selagi Agong Tidak Perkenan, Ordinan Tidak Boleh Diluluskan Atau Dibatalkan – Lukman Sheriff

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 06 Ogos 2021 – “Pada hemat saya YDPA mempunyai peranan yang penting terutamanya dalam menstabilkan negara.”

“Kita lihat bagaimana negara kita haru-biru apabila ahli politik kita melompat-lompat ketika Tun M meletak jawatan itu. Tuanku telah menyelesaikannya dengan cukup baik dan kita menjadi stabil seketika, kata peguam, Lukman Sheriff Alias.

Tegas beliau, Malaysia mempunyai sistem Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy). KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara dan kuasa eksekutif, legislatif juga badan kehakiman terletak hak kepada YDPA.

“Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja kita mempunyai pengaruh luar Perlembagaan yang cukup besar.”

“Baginda mempunyai peranan penting dan tersendiri di dalam Perlembagaan selain dari badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.”

Jelas beliau, walaupun raja tidak mempunyai kuasa mutlak, namun kuasa-kuasa Baginda termaktub di dalam Perlembagaan. Tetapi, perlu diingati bahawa YDPA dan Raja-Raja adalah institusi yang perlu dihormati dan disanjungi.

Persoalan, ada pihak mengatakan Agong dan Perlembagaan adalah setaraf. Benarkah dakwaan ini? Bukankah YDPA mengatasi Perlembagaan? Bukankah Perlembagaan itu sendiri diluluskan dan diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja?

Menjawab persoalan ini, Lukman Sheriff menjelaskan, “Kita tidak boleh bandingkan YDP Agong dan Majlis Raja-Raja itu adalah mengatasi Perlembagaan walaupun Perlembagaan itu sendiri diluluskan dan diperkenankan oleh YDPA sendiri dan Majlis Raja-Raja.”

“Perkara ini tidak boleh dibandingkan begitu. Perlembagaan adalah undang-undang yang mengikat semua termasuk institusi Raja kita,” ujarnya.

Lukman Sheriff kemudiannya ditanya mengenai isu perselisihan dalam isu penamatan darurat yang kononnya YDPA didakwa perlu menerima segala keputusan Kabinet dan Jemaah Menteri.

Hal ini menyebabkan rakyat mendakwa YDPA tidak berfungsi dan tidak diperlukan di dalam negara.

Adakah benar Agong perlu menerima sahaja keputusan dari Kabinet dan Jemaah Menteri?

Ujar beliau, terdapat dua pandangan berkenaan interpretasi Artikel 150.

Satu mengatakan di bawah Artikel 150, YDPA tiada kuasa budi bicara dan hendaklah mengikut nasihat Jemaah Menteri. Satu lagi mengatakan YDPA mempunyai budi bicara.

“Saya tidak bersetuju bahawa dalam isu revokasi atau pembatalan ordinan, YDPA hendaklah mengikut segala kehendak Jemaah Menteri.”

“Artikel 150 tidak menyatakan dengan jelas cara revokasi atau pembatalan ordinan. Tetapi jelas di bawah Artikel 150, hanya YDPA yang boleh memasyhurkan atau sebaliknya membatalkan ordinan,” tegas beliau.

Tambah beliau, YDPA akan mengeluarkan atau membatalkan mana-mana ordinan hanya jika YDPA “berpuas hati” dengan justikasinya. Ini diperuntukkan di dalam Perlembagaan.

“Jadi, selagi mana YDPA tidak memberi perkenan, ordinan-ordinan tidak boleh berkuat kuasa atau dibatalkan.”

“Pada saya, Perlembagaan sengaja senyap, tidak seperti di dalam keadaan bukan darurat, supaya kedua-dua iaitu YDPA dan Kerajaan mesti bersama ketika darurat.”

Mengulas lanjut, menurut Lukman Sheriff, dalam keadaan bukan darurat, sekiranya perkenan YDPA tidak diperolehi, Artikel 66 menjelaskan bahawa undang-undang tersebut akan terus berkuat kuasa.

“Tetapi Artikel 66 tidak terpakai untuk ordinan yang dimasyhurkan di atas. Maka dalam darurat, adalah tanggungjawab Kerajaan atau eksekutif untuk meyakinkan Tuanku kenapa Ordinan itu perlu dibatalkan.”

Beliau berkata, dalam keadaan sekarang juga, Tuanku yang mahukan Parlimen bersidang dan berfungsi. Ini sebenarnya menepati prinsip Perlembagaan dan demokrasi. Semua ini penting untuk kestabilan negara.

“Apa pun Kita tunggu dan lihat. Terlalu awal untuk dirumuskan,” kata beliau mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button