Tempatan

SOP COVID-19: Agong Seru Rakyat Tidak Hilang Fokus

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 30 April 2021 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat supaya tidak hilang fokus dan sentiasa berwaspada demi kesihatan dan keselamatan diri, ahli-ahli keluarga serta masyarakat dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Ini kerana jika berlakunya penularan wabak COVID-19 gelombang keempat, ia akan mengancam dan meruncingkan lagi ekonomi negara serta sosio-ekonomi rakyat jelata.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kegusaran berikutan laporan-laporan berita terkini berkenaan penutupan beberapa sekolah di negara ini akibat penularan wabak COVID-19.

“Kadar pematuhan SOP di beberapa majlis keraian dan bazar Ramadan di beberapa negeri masih belum mencapai tahap memuaskan. Turut membimbangkan apabila adanya laporan yang menyatakan hospital swasta di Lembah Klang kini mengalami kekurangan katil bagi menampung jumlah pesakit susulan peningkatan kes COVID-19 sejak dua minggu lalu,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Oleh itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat supaya tidak alpa dan mengambil sikap sambil lewa dengan arahan serta pematuhan SOP di bazar-bazar Ramadan, sekolah-sekolah dan majlis keraian umum seperti majlis berbuka puasa dan kenduri bagi memastikan penularan jangkitan wabak COVID-19 di negara dapat dikawal dan dibendung dengan sebaiknya.

“Seri Paduka Baginda menyeru rakyat supaya sentiasa berdisiplin dalam mematuhi arahan dan SOP ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan negara ini dibadai tsunami COVID-19 seperti yang dialami oleh beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah.”

Di akhir kenyataan, Seri Paduka Baginda mengambil keberkatan bulan Ramadan ini mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga negara sentiasa diberkati dan dilindungi serta ancaman wabak COVID-19 ini dapat diakhiri dengan segera.

 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker