Tempatan

Sejarah Dulu Sebagai Iktibar dan Pedoman Generasi Mendatang – YDPA

Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

KUANTAN, 24 Mac 2021 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar kerajaan Pahang dapat menyokong penuh penubuhan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah dengan memberi geran khas tahunan bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan seperti penganjuran seminar, kolokium dan bengkel, penyelidikan, penerbitan, penterjemahan serta latihan.

“Saya menaruh harapan yang tinggi agar pusat ini nanti bukan semata-mata akan menjadi pusat rujukan berguna untuk universiti-universiti tempatan dan luar negara tetapi juga dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat dalam kalangan orang awam yang berminat untuk mengetahui sejarah tanah air mereka,” titah baginda dalam Majlis Taklimat Cadangan Menandatangani (MoA) Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah di Khutub Khanah Diraja di sini Isnin lalu.

“Melalui pusat kajian ini juga, ruang dan peluang yang lebih besar akan dapat dimanfaatkan oleh pengkaji-pengkaji tempatan dan luar negara untuk menyelidik, menerokai dan memahami sejarah tanah air.”

Tambah Seri Paduka Baginda, kita seringkali lupa siapa yang berjasa dan hanya mengenali mereka melalui tulisan atau catatan tertentu sahaja.

“Hari ini, kita menggunakan segala tinggalan mereka dalam bentuk manuskrip, tekstil, seramik dan lain-lain yang menjadi kebanggaan dan pengenalan kita sebagai satu bangsa bertamadun di mata dunia.”

Oleh itu, apa yang diusahakan hari ini bukanlah untuk generasi sekarang semata mata, tetapi untuk generasi akan datang yang bakal mewarisi negara, seperti mana apa yang kita ada sekarang adalah hasil usaha yang dilakukan oleh datuk nenek beratus-ratus tahun dahulu.

“Kita harus bersyukur kerana apa yang kita makan, apa yang kita pakai, tulisan yang kita guna, bahasa yang kita pertuturkan dan peralatan yang kita gunakan untuk kegunaan seharian sebahagian besarnya adalah hasil usaha orang-orang atau cendekiawan terdahulu yang kita warisi dan kita namakannya sebagai sejarah dan budaya kita.”

“Sejarah ialah iktibar. Jadi saya berharap kita tidak mengabaikan kepentingan sejarah. Jangan memandang rendah usaha-usaha dilakukan oleh ahli sejarah dan ahli muzium kerana setinggi mana pun kita terbang, kita akan tetap kena berpijak di bumi nyata. Ibarat pepatah; melihat keindahan bintang di langit, hijau rumput di taman jangan dilupa,” titah baginda.

Hadir sama dalam Majlis Taklimat Cadangan Menandatangani (MOA) Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah itu ialah Tengku Panglima Raja Pahang, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan merangkap Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abd Jalal.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button