PRU-15

Agong Titah Gabungan Parti Sembah Nama Calon PM Sebelum 2 Petang Esok

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 November 2022 – Adalah dimaklumkan bahawa Istana Negara telah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), yang telah berlangsung semalam (19 November 2022), daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada jam 1.15 tengah hari, hari ini.

Dokumen yang telah dikemukakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia YBhg. Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk Kerajaan baharu.

Sehubungan dengan itu, menjunjung titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Istana Negara telah meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat YBhg. Tan Sri Azhar Azizan Harun memohon kepada ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui antara parti-parti politik/gabungan parti-parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU-15.

Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik tersebut akan diminta oleh YBhg. Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti-parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum jam 2.00 petang, pada hari Isnin, 21 November 2022.

Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, adalah dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad.

Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU-15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.

Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan Kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.

Baginda seterusnya turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: