Tempatan

Agak Terlewat Untuk Tubuh Kerajaan Perpaduan – Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2021 – “Kerajaan Perpaduan ini boleh ditubuhkan oleh Perdana Menteri yang terdiri daripada pelbagai parti. Tapi dalam keadaan sekarang bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini agak terlambat sebab isu undi kepercayaan sudah timbul,” kata Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia, Pahang (ITKAS).

Menurutnya, rombakan Jemaah Menteri bagi maksud kerajaan uniti ketika belum timbul usul kepercayaan itu boleh dilaksanakan, tetapi sekarang sudah agak terlewat.

“Walau bagaimanapun, pendekatan itu boleh diambil oleh ahli Dewan Rakyat yang menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.”

Berhubung dengan MAGERAN pula, Datuk Wan Ahmad Fauzi berkata, “Ia perlu ada sumber kuasa, walaupun sekarang ini Ordinan Darurat masih berkuat kuasa tetapi tiada peruntukan untuk membolehkan pembentukan kerajaan di luar dari kerangka Perkara 43, seperti Jemaah Menteri sedia ada, melainkan ada ordinan digubal untuk mencapai maksud proklamasi darurat baharu yang mengabsahkan kerajaan MAGERAN tadi.

“Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang ada kini kebanyakannya memperuntukkan punca kuasa semasa dalam tempoh darurat, justeru walaupun ia boleh sah sehingga 6 bulan dari tarikh darurat berakhir pada 1 Ogos 2021, tidak banyak yang dapat menangani isu-isu pada hari ini. Misalnya, penggantungan had batas masa untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) yang diperuntukkan hanya bagi tempoh darurat. Peruntukan itu tidak dipinda untuk membenarkan pemakaiannya dalam tempoh kuat kuasa ordinan itu maka jika berlaku pembubaran Parlimen, dalam tempoh 60 hari PRU perlu diadakan”.

Menurut beliau, dari sudut keabsahan seorang Perdana Menteri, Perlembagaan menetapkan seorang Perdana Menteri itu hendaklah mempunyai undi kepercayaan untuk terus menjadi Perdana Menteri kerana undi kepercayaan itulah yang mewakili mandat rakyat.

“Sebab mandat rakyat ini diterjemahkan melalui wakil-wakil rakyat, maka Perdana Menteri mestilah mempunyai mandat daripada Dewan Rakyat kerana ahli Dewan Rakyat adalah dipilih oleh rakyat, itulah yang dinamakan sistem demokrasi berparlimen.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sistem demokrasi di Malaysia adalah demokrasi berperlembagaan, yang tidak terikat dan mengikut acuan Westminster bulat-bulat.

“Apabila berperlembagaan, ia perlulah diurustadbir mengikut garis Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh ditafsir secara bebas.”

Beliau berkata, jika Perdana Menteri hilang undi kepercayaan, maka Perdana Menteri kena meletak jawatan Jemaah Menterinya.

Yang Di Pertuan Agong (YDPA) boleh atas permintaan Perdana Menteri memperkenankan pembubaran Parlimen. Jika pembubaran Parlimen tidak diperkenankan maka Perdana Menteri dianggap telah meletakkan jawatan Jemaah Menterinya.

“Perdana Menteri hendaklah letak jawatan jika sudah hilang undi kepercayaan, dan pada masa yang sama boleh meminta YDPA untuk bubar Parlimen, namun Baginda berhak menolak permintaan pembubaran Parlimen. Jika YDPA berpuas hati Perdana Menteri sudah hilang undi kepercayaan, sama ada Baginda memberi perkenan atau tidak kepada permintaan bubar Parlimen, Perdana Menteri serta Jemaah Menterinya sudah dianggap meletakkan jawatan”.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: