Tempatan

Kerajaan Perpaduan Tidak Praktikal – Haniff Khatri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2021 – “Kalau sudah tidak boleh laksanakan pilihan raya umum, maka kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong adalah sebagai penyelia utama.”

“Maka Baginda boleh mengisytiharkan darurat politik sebagai mana keadaan sekarang memperlihatkan politik yang bermasalah sehingga tidak boleh melantik kerajaan. Kemudian YDPA boleh melantik Majlis Penasihat Diraja Darurat,” kata peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata, kerajaan perpaduan pun tidak praktikal untuk diadakan sebab sesiapa pun yang hendak membentuk kerajaan minoriti perpaduan akan menghadapi masalah yang sama yang dihadapi oleh Perdana Menteri ketika ini, tekanan ugutan dan sebagainya yang tidak relevan dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat sekarang.

Jelasnya, PRU juga tidak wajar diadakan sekarang sebab masalah Covid-19 serta tidak ada keyakinan rakyat terhadap parti-parti politik yang ada sekarang.

Justeru, antara solusi yang boleh dilakukan oleh YDPA adalah Baginda boleh mengisytihar darurat politik dan melantik satu majlis untuk mengurustadbir negara.

Menurutnya, Parlimen akan berfungsi dan Ahli-ahli Parlimen boleh bersidang serta membentangkan soalan-soalan polisi, selain boleh memberi cadangan-cadangan kepada Majlis untuk diterima oleh Agong.

“Jadi setiap cabang akan berfungsi, cuma Majlis tidak akan merangkumi Ahli-Ahli Dewan Rakyat. Kalau ada pun seorang dua yang jadi negarawan yang akan mengakujanji supaya mereka tidak akan kembali kepada arena politik selepas tamat tugasan dan tidak akan tawarkan diri sebagai Perdana Menteri dan sebagainya.”

Beliau berkata, kalau itu dibuat maka semua ahli dan semua parti politik tidak perlu risau siapa pun negarawan ataupun ahli politik yang diterima dalam majlis tersebut.

“Mereka tidak mempunyai keuntungan yang melampau selepas tamat tugas sebab mereka tidak akan berhak lagi bertanding atau menawarkan diri sebagai Perdana Menteri.”

“Justeru, tunggu dalam 2 tahun lagi, sempatlah mereka membersihkan parti masing-masing, biar Majlis selesaikan masalah negara, buat undang-undang yang perlu tentang parti-parti politik dan tentang pilihanraya.”

“Ahli-ahli politik bolehlah menyusun semula agenda dan portfolio parti masing-masing sebelum kembali bertanding pada PRU-15,” ujar beliau.

Haniff berkata, setakat ini tidak ada pihak yang memperolehi sokongan majoriti dan sudah ramai Ahli Parlimen pun sudah menyatakan perkara itu.

“Kalau nak dikira semula misalnya PKR tak sampai 90 orang dan kalau bercakap pasal UMNO yang apabila terpecah dua hanya berapa orang sahaja yang tinggal dalam UMNO dan mereka bukanlah Perikatan Nasional. Manakala Perikatan Nasional pula cuma 80 lebih sahaja, kemudian kalau kita ambil blok ketiga iaitu blok Tun Mahathir lagi sedikit lebih kurang 30 orang sahaja.

Jelasnya, sesiapa pun hendak menjadi Perdana Menteri mereka perlukan sokongan dari pihak yang bukan orang dia.

Apabila PM jatuh, Menteri Kabinetnya juga akan jatuh sekaligus sama ada suka atau tidak itulah keadaan yang akan berlaku kerana perkara itu sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika kita melihat precedent situasi sebegini di dalam negara setakat ini Kerajaan Persekutuan belum pernah terjadi keadaan yang seumpama ini,” katanya.

Jelas beliau lagi, mungkin pernah berlaku hal yang hampir serupa iaitu pada 24 Febuari 2020 apabila Tun Mahathir mengetahui dia sudah hilang majoriti dibawah Sheraton Move maka dilakukan apa yang wajib dilakukan di bawah Perkara 43(4) dia meletak jawatan pada 24 Febuari 2020.

“Apabila dia meletak jawatan, secara automatik keseluruhan kabinetnya akan gugur maka kerajaan Pakatan Harapan hilang jawatan semuanya ketika itu dan tidak ada mereka membantah dan tidak ada mengatakan itu salah sebab mereka tahu itulah yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan dan tidak boleh dinafikan.”

Persoalannya, bolehkah kerajaan dengan majoriti tetapi kurang dari 111 sokongan Ahli Parlimen dapat dibentuk? Haniff berkata, ia boleh dilakukan, walhal kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yasin adalah satu kerajaan yang dibentuk tanpa 111 iaitu Parti Bersatu pada masa itu sebelum adanya Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional pun belum masuk waktu itu.

Menurutnya, walaupun mereka mempunyai lebih kurang 70 anggota sahaja tetapi kerajaan terbentuk oleh kerana yang lain sanggup menyokong kerajaan minoriti.

“Jadi andainya Tan Sri Muhyiddin jatuh dan ada yang tampil menyatakan dia mempunyai sokongan maka mereka boleh membentuk kerajaan minoriti dan melantik semula Perdana Menteri atas perkenan Agong. Tetapi saya percaya perkara itu tidak wujud sekarang ini,” kata Haniff.

Ujarnya lagi, setakat pada kedudukan Tan Sri Muhyiddin selepas pengakuannya petang Jumaat baru-baru ini bahawa dia sudah tiada sokongan majoriti di Dewan Rakyat, maka dia cuma ada satu pilihan praktikal di sisi Perlembagaan, iaitu untuk meletak jawatan.

“Ini adalah kerana pilihan untuk minta bubar Parlimen tidak mungkin dilaksanakan sekarang ini.”

“Apa berlaku selepas Tan Sri Muhyiddin letak jawatan, adalah tanggungjawab mutlak YDPA tentukan dan Muhyiddin tidak boleh mendahului tugasan dan tanggungjawab Baginda Tuanku sama sekali, sebagai alasan untuk tidak mengundur diri. Itu akan mencabuli Perlembagaan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: