Pendapat

JAWATANKUASA KHAS BEBAS DARURAT MAMPU TENANGKAN KEGELISAHAN RAKYAT – Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersetuju menggubal ordinan yang memperuntukkan nasihat Jawatankuasa Khas Bebas, bukannya Jemaah Menteri mahupun Perdana Menteri untuk menilai kewujudan elemen darurat besar di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, itu mencerminkan sikap yang tidak berpihak serta ketelusan SPB Agong dalam mengimbangi percaturan politik kepartian masa kini.

Justeru, Jawatankuasa Khas Bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan wakil-wakil parti politik perlu  berperanan aktif,  bukan setakat menerima laporan daripada pihak Kerajaan. Rakyat yang disogok dengan pelbagai maklumat dalam media sosial pastinya tidak mudah untuk membezakan yang mana kebenaran, dan sebaliknya.

Dalam keadaan yang semakin mencambahkan polemik dalam masyarakat, sudah pasti rakyat ingin mendengar perkembangan di dalam negara daripada mulut Jawatankuasa Khas Bebas.

Sebagai sebuah Jawatankuasa bebas yang masih belum tercalar kewibawaannya, kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas diharapkan boleh meneliti pelaksanaan peruntukan ordinan serta keperluan-keperluan lain untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara dengan lebih berkesan.

Setidak-tidaknya cadangan, ulasan dan teguran Jawatankuasa Khas Bebas dapat mengekalkan tadbir urus yang baik dalam pengurusan Kerajaan sepanjang tempoh darurat. Rakyat tidak sewajarnya dibiarkan bersangka buruk terhadap polisi dan tindak tanduk Kerajaan dek pelbagai dakwaan yang dilontarkan oleh pelbagai pihak.  Kesan daripada kekurangan maklumat tentang usaha dan jawapan  kepada pelbagai  isu  berbangkit, turut  mengheret institusi Yang di-Pertuan  Agong  yang  dijadikan sasaran fitnah, cercaan  dan  tohmahan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tegasnya, Jawatankuasa Khas Bebas perlulah proaktif untuk membantu Kerajaan menilai keperluan semasa di samping menjawab isu-isu kewajaran tempoh darurat dikekalkan atau sebaliknya. Jika fungsi sedemikian belum dimasukkan dalam terma rujukan, maka sudah tiba masa fungsi itu diadakan memandangkan rakyat semakin gelisah. Rakyat semakin gelisah kerana kes jangkitan harian semakin meningkat meskipun ordinan darurat sudah berkuatkuasa.

Hari ini rakyat semakin sensitif dan membandingkan langkah-langkah pengawalan dan penvaksinan yang berlaku di seluruh dunia seperti dipamerkan di kaca TV juga media sosial.

Ringkasnya, Jawatankuasa Khas Bebas perlu proaktif agar kepercayaan rakyat kepada Kerajaan dalam tempoh darurat tidak terjejas untuk membolehkan kepimpinan negara menumpukan usaha menangani penularan wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi. Rakyat tidak patut mempunyai persepsi bahawa Jawatankuasa Khas Bebas akan hanya menghadap SPB Agong pada penghujung bulan Julai 2021, setelah ahlinya dilantik pada 9 Februari 2021, untuk menyampaikan nasihat.

Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain
Pengasas Jurisprudens Watan merangkap
Pengarah Institut Tamadun & Kajian Strategik, UMP (ITKAS)

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: