Tempatan

Agong Mempunyai Kuasa Prerogatif Tertentu Dalam Perlembagaan – Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Wawancara Khas Wartawan Samudera.my bersama Pakar Perlembagaan, Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain yang juga Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (ITKAS) mengenai persepsi segelintir pemimpin dan rakyat terhadap Institusi Diraja yang perlu diubah.

Dalam pada kegelisahan rakyat menghadapi pandemik Covid-19 bercampur dengan perebutan kuasa pemimpin-pemimpin yang semakin rakus, ditambah kemelut politik dan isu darurat yang sedang melanda negara hari ini, ada pihak yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh dengan mengeksploitasikan Institusi Diraja sehingga tercetusnya persepsi negatif tentang fungsi dan peranan sebenar Institusi Diraja terutamanya Yang di-Pertuan Agong.

Ikuti penerangan mengenai peranan kuasa dan kepentingan KDYMM SPB YDP Agong yang sebenarnya adalah lebih tinggi dan mengatasi Perlembagaan dan bukan setaraf dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kesimpulannya, Agong mempunyai fungsi yang besar dan pemikiran yang membataskan kuasa Baginda sehingga dianggap “rubber stamp” adalah satu hasutan dan penghinaan kepada Institusi Beraja di negara kita.”

Wartawan Samudera.my (WS)
Datuk Dr Wan Fauzi Wan Husain (Dr Wan Fauzi)

WS: Apakah fungsi sebenar Agong dalam negara?

Dr Wan Fauzi: Agong ialah ketua utama negara, yang mewakili Kedaulatan Raja-Raja seperti termaktub di dalam Perkara 181(1). Kerangka Perlembagaan Persekutuan berbeza dengan amalan di England yang dikenali sebagai Westminster, berteraskan “general will” atau Kedaulatan Parlimen.

Sistem Perlembagaan kita ialah Kedaulatan Raja-Raja dan keluhuran Perlembagaan yang menjadi governan kepada tiga cabang kuasa utama di bawah Perlembagaan, iaitu Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman.

Daripada prinsip-prinsip di atas terlaksana sistem demokrasi berparlimen yang tertakluk pada ketinggian Perlembagaan Persekutuan.

Agong, menurut Perkara 39 ialah pemegang kuasa eksekutif Persekutuan, menurut Perkara 44 adalah pemegang kuasa legislatif Persekutuan bersama-sama dengan dua buah dewan, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Manakala pentadbiran kehakiman Persekutuan di bawah Perkara 121 dibuat di atas nama Baginda, termasuklah pelantikan hakim-hakim.

Pada zaman sebelum Hari Merdeka, di dalam Kerajaan Negeri Melayu, raja mempengerusikan atau mengetuai Mahkamah Yang Maha Tinggi di negeri masing-masing. Kuasa tersebut akhirnya dipindahkan kepada badan kehakiman apabila Persekutuan Tanah Melayu 1948 dibentuk di peringkat Persekutuan.

Di negeri beraja, masih ada peruntukan yang membenarkan seorang raja untuk memperkenankan semakan keputusan penghakiman Mahkamah Syariah.

WS: Apa kuasa Agong dalam pentadbiran negara?

Dr Wan Fauzi: Dalam pentadbiran eksekutif negara, Agong boleh melaksanakan sendiri fungsi kuasa eksekutif seperti diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan, sama ada mengikut budi bicara atau bertindak di atas nasihat.

Bukan semua perkara di bawah Perlembagaan mengkehendaki Agong bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau menteri. Perkara 40(1) itu sendiri mengandungi pengecualian buat Agong untuk bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri. Malah dalam banyak hal lain yang memperuntukkan Agong mengikut nasihat, tidak semestinya nasihat Jemaah Menteri atau menteri.

Pelbagai majlis dan lembaga di bawah Perlembagaan yang berfungsi sebagai badan penasihat atau syura kepada Baginda seperti Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 130, Parlimen di bawah Perkara 66 dan Perkara 159, Lembaga Pengampunan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mufti dan banyak lagi seperti yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Persekutuan.

Dalam pada itu, Agong mempunyai prerogatif termasuklah kuasa tersimpan dan budi bicara sebagai seorang raja yang mewakili Kedaulatan Raja-Raja Melayu menurut Perkara 181(1) dan sumpah jawatan Baginda untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

WS: Apakah fungsi Majlis Raja-Raja dalam negara?

Dr Wan Fauzi: Fungsi Majlis Raja-Raja (MRR) termaktub menurut Perkara 38 sebagai governan utama di sisi Agong dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang perlu dihargai dan ditaati ialah kedudukan Raja-Raja Melayu (RRM) sebagai pemegang kuasa kedaulatan, bahawa kuasa kedaulatan Raja-Raja Melayu yang menginstitusikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

MRR mahupun RRM merupakan tempat atau saudara yang di-Pertuan Agong boleh merundingi dalam apa jua perkara, sama ada urusan rasmi yang diperuntukkan buat MRR, atau selainnya selaras dengan amalan syura.

WS: Ada pihak mengatakan Agong dan Perlembagaan adalah setaraf. Benarkah dakwaan ini? Bukankah Agong mengatasi Perlembagaan? Bukankah Perlembagaan itu sendiri diluluskan dan diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja?

Dr Wan Fauzi: Raja-Raja Melayu menginstitusikan atau mengabsahkan Perlembagaan Persekutuan melalui Enakmen-Enakmen Negeri. Melalui Kedaulatan Raja-Raja ditetapkan Kuasa-Kuasa yang diserahkan kepada Agong bagi maksud penubuhan sebuah Persekutuan yang kuat. Selain peruntukan nyata Perlembagaan, Agong memiliki kuasa prerogatif sebagai Ketua agama Islam Persekutuan dan pemerintahan tertinggi di Persekutuan berlandaskan sumpah Baginda yang ditetapkan di bawah Perkara 37.

WS: Dalam isu penamatan darurat, ada yang mendakwa Agong perlu menerima segala keputusan Kabinet dan Jemaah Menteri. Ini menyebabkan rakyat mendakwa Agong tidak berfungsi dan tidak diperlukan dalam negara. Adakah benar Agong perlu menerima sahaja keputusan dari Kabinet dan Jemaah Menteri?

Dr Wan Fauzi: Tempoh darurat telah dinyatakan oleh Agong dalam proklamasi Baginda pada 11 Januari 2021. Kita lihat permintaan kali pertama darurat tidak diperkenankan oleh Agong. Keputusan itu adalah selaras dengan kuasa budi bicara Baginda kerana proklamasi darurat itu boleh berlaku setelah Agong berpuas hati syarat di bawah 150(1) atau (2) sudah ada.

Seperti saya jelaskan lebih awal, sumber kuasa nasihat eksekutif di bawah Perkara 40(1) itu sendiri tidak mutlak.

Ada pengecualian seperti yang dinyatakan oleh peruntukan Perlembagaan, itu termasuklah ketika Agong melaksanakan fungsi kuasa eksekutif di bawah Perkara 150(1) dan (2), juga kuasa legislatif Baginda di bawah Perkara 150(2B) dan (3).

Untuk lebih mendalami, saya syorkan baca buku berjudul “Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan”, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kesimpulannya, Agong mempunyai fungsi yang besar dan pemikiran yang membataskan kuasa Baginda sehingga dianggap “rubber stamp” adalah satu hasutan dan penghinaan kepada Institusi Beraja di negara kita.

WS: Parlimen sekarang ini dilihat sedang disalah guna. Adakah Agong tidak boleh melakukan sesuatu menggunakan kuasa Baginda untuk menyelamatkan negara dan rakyat?

Dr Wan Fauzi: Penggubalan ordinan itu adalah kuasa perundangan Agong. Pendapat yang mengatakan itu kuasa eksekutif ternyata bercanggah dengan Perkara 150(2B) dan (3), maka perlu diperbetulkan.

Baginda boleh sahaja dalam tempoh darurat menggubal ordinan bagi menyelamatkan negara. Namun itu tidak mudah tanpa persidangan Parlimen dan pandangan-pandangan berwibawa daripada pihak-pihak berkenaan.

WS: Titah Agong dilihat seperti tidak mempunyai kuasa kepada kerajaan sekarang. Pendapat Datuk?

Dr Wan Fauzi: Itu adalah persepsi, sedangkan ordinan darurat itu sah atas kuasa dan perkenan Agong seperti diperuntukkan oleh Perkara 150(2B) dibaca bersama dengan Perkara 44.

Titah Agong dilihat seperti tidak mempunyai kuasa kepada Jemaah Menteri sekarang barangkali diakibatkan khilaf yang berlaku dalam pentafsiran kuasa penggubalan dan pembatalan ordinan.

Peguam Negara perlu menghormati prinsip pemisahan cabang kuasa dalam penasihatan beliau kepada Jemaah Menteri.

Pandangan yang mendakwa Agong perlu bertindak mengikuti nasihat eksekutif dalam penggubalan dan pembatalan ordinan adalah bercanggah dengan Perkara 44.

Keputusan kes Teh Cheng Poh tidak boleh dirujuk dalam isu sekarang kerana peruntukan yang dirujuk ketika itu sudah dipinda, apatah lagi terkhilaf kerana terabai prinsip ketinggian Perlembagaan Persekutuan.

Saya percaya Jemaah Menteri sekarang akan menyedari bahawa wujudnya kuasa kerajaan Persekutuan itu atas kuasa kedaulatan Raja-Raja mengikut Perlembagaan, serta Kerajaan Persekutuan itu ialah Agong dan Jemaah Menteri yang dilantik oleh Baginda.

Saya berpandangan dalam keadaan sekarang, Kerajaan kena menimbangkan apa yang terbaik buat rakyat. Antara forum terbaik untuk menimbangkan keadaan itu ialah melalui sidang Parlimen seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda.

Titah Agong sebagai ulil amri perlu ditaati kerana apa yang dititahkan adalah Syariah compliance untuk mengukuhkan amalan syura, apatah lagi amalan itu termaktub dalam peruntukan nyata Perlembagaan.

WS: Terima Kasih Datuk Dr Wan Fauzi di atas pencerahan yang diberikan.

Dr Wan Fauzi: Sama-sama. Terima Kasih kembali.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button