Kerajaan Ada Kuasa Sekat Doktrin Bercanggah Ahlus Sunnah Wal Jamaah – Prof Shamrahayu
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
SHAH ALAM, 29 Oktober 2021 – Sebarang doktrin yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh ditentang oleh kerajaan dan ianya sah dari sudut perundangan. Hal ini diutarakan oleh Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz.
Dalam sebuah program bual bicara, beliau menegaskan bahawa peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai Agama Persekutuan merupakan suatu yang terpelihara di sisi undang-undang.
“Jadi walaupun tidak disebut dalam Perlembagaan itu tetapi akidah Ahli Sunnah itu diangkat dalam Perlembagaan Negeri-negeri dan saya boleh nyatakan dengan jelas bahawa Perlembagaan Negeri Kelantan contohnya menyebut tentang akidah sultan bagi negeri Kelantan adalah akidah Ahli Sunnah,” ujar beliau.
Beliau turut menambah bahawa dalam kes Mamat bin Daud & Lain-lain melawan Kerajaan Malaysia, Hakim Mahkamah Agung (Supreme Court) YA Salleh Abas menyatakan bahawa untuk membiarkan umat Islam mengamalkan Islam menurut doktrin pilihan mereka secara tidak terkawal akan menimbulkan kekacauan.
“…Kuasa untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau mencegah amalan-amalan sedemikian (amalan-amalan yang bercanggah dengan prinsip Islam sebenar) diberikan kepada negeri-negeri seperti yang dapat dilihat dari Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan,” menurut laporan kes tersebut.
Prof. Madya Dr. Shamrahayu turut mengulas bahawa pegangan Ahli Sunnah dan agama Islam itu sendiri telah dijamin pemeliharaannya oleh peruntukan Perlembagaan, seperti yang termaktub dalam Sumpah Yang di-Pertuan Agong bahawa Baginda sendiri bertanggungjawab dalam memelihara agama Islam di Malaysia.