Tempatan

Buku Tommy Thomas Bukti YDPA Adil dan Tidak Berat Sebelah – Dr Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – “Buku Tan Sri Tommy ini adalah bukti nyata bagaimana Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah melaksanakan tanggungjawab baginda dalam tempoh peralihan kuasa ini dengan seadil-adilnya tanpa cuba memihak kepada mana-mana pihak seperti didakwa.”

Demikian catatan Dr Kamarul Zaman Yusoff mengulas laporan The Vibes bertajuk “Agong wanted Wan Azizah as interim PM, Dr Mahathir intervened: Thomas”.

Ulasan The Vibes ini diambil dari buku Tommy Thomas berjudul “My Story : Justice In Wildersness”.

Menurut penganalisis politik itu, isi yang paling menarik di dalam buku terbitan SIRD yang mula berada di pasaran semalam adalah pendedahan Tan Sri Tommy mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di dalam tempoh peralihan kuasa.

Tommy menyatakan, YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merayu kepada Tun Dr Mahathir untuk kekal menjadi Perdana Menteri, tetapi ditolak. Kemudian, YDPA mahu melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Perdana Menteri Interim, namun, Tun Dr Mahathir mahu beliau sendiri dilantik menjawat jawatan tersebut.

“Yang di-Pertuan Agong merayu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kekal menjadi Perdana Menteri tetapi Tun Dr Mahathir bertegas mahu meletakkan jawatan yang menyebabkan Yang di-Pertuan Agong tiada pilihan lain selain menerima peletakan jawatan tersebut.”

“Yang di-Pertuan Agong sebenarnya mahu melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri Interim tetapi Yang di-Pertuan Agong tidak dapat berbuat demikian kerana Tun Dr Mahathir mahukan beliau sendiri dilantik sebagai Perdana Menteri Interim tersebut,” petik Dr Kamarul lagi.

Tambah Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, Tommy menjelaskan dalam bukunya, Tun Mahathir bukan sahaja mahu meletak jawatan, tetapi juga mahu Kabinet dibubarkan.

“Tun Dr Mahathir tegas bahawa Kabinet mesti dibubar ekoran peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dan ini terpaksa diterima oleh Yang di-Pertuan Agong menyebabkan sejumlah 50 Menteri dan Timbalan Menteri hilang jawatan.”

Ustaz Razali dari MAMPIR menyifatkan pihak yang memainkan sentimen anti-YDPA dalam isu perisytiharan darurat sebagai pihak yang sengaja tidak mahu memahami kedudukan Seri Paduka Baginda (SPB) dan berharap agar pihak berwajib menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka.

“Negara sedang hadapi tiga krisis serentak iaitu kemerosotan ekonomi, perebutan kuasa kalangan parti politik dan pandemik Covid-19. Maka darurat diisytiharkan bagi mengawal kerajaan baginda bukannya kerajaan PN atau PH atau mana-mana parti.”

“Saya menyarankan agar pihak berwajib menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang membawa anasir subversif atau seruan-seruan yang boleh membangkitkan ketidaksetiaan terhadap SPB YDPA sepertimana peruntukan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button