Ramadan 2023: Jangan Bazir Makanan – YDPA & Permaisuri
KUALA LUMPUR, 23 Mac 2023 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menitahkan kepada semua umat Islam agar tidak membazir makanan.
“Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat supaya dalam mengejar pahala adalah amat penting juga tidak mensia-siakannya dengan pembaziran makanan yang mana sisa makanan menjadi penyumbang terbesar pada bulan Ramadan terutamanya daripada ketika berbuka puasa.”
BACA JUGA: Pesta ‘Gay Boy’ Ramadan al Mubarak, Kerajaan Madani Mesti Bertindak! – NGO
BACA JUGA: Kuliah Agama Tak Boleh, Pesta ‘Gay Boy’ Bulan Ramadan Boleh Pula? – Yusuf Azmi
BACA JUGA: Ramadan: Kantin Sekolah Boleh Dibuka – Menteri Pendidikan
“Perkara ini bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan yang mendidik umat Islam supaya bersederhana dan tidak membazir. Apatah lagi terdapat larangan keras terhadap perbuatan boros dan membazir seperti firman Allah Subhanahu wa Taala menerusi ayat 27 Surah al-Isra’ bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”.”
Demikian titah Seri Paduka Baginda berdua dalam satu titah yang dikeluarkan bersempena ketibaan bulan Ramadan 2023.
Selain itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyeru seluruh umat Islam mengaut keberkatan di bulan yang mulia ini untuk meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri dan menggandakan ibadah serta amalan.
“Perbanyakkan ibadah-ibadah sunat dan amalan-amalan kebajikan serta memperkukuhkan lagi ukhuwah sesama insan di samping meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan merugikan. Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan sempurna supaya dapat digolongkan bersama orang-orang yang bertakwa di sisi Allah Subhanahu wa Taala.”
Tegas Seri Paduka Baginda, syiar Ramadan sesungguhnya bertujuan untuk melahirkan manusia bertakwa sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah al Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, difardukan ke atas kamu ibadah puasa sebagaimana difardukan ke atas umat-umat sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi golongan yang bertakwa (kepada Allah)”.
Di akhir titah, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat serta nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Taala kepada kita.
“KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.”
“Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh umat Islam mengambil keberkatan Ramadan untuk bersama Baginda berdua mendoakan semoga Malaysia terus dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah,” demikian titah Seri Paduka Baginda berdua lagi.