Terkini

Kekal PM, Undi Percaya Dibentang September Ini – PM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 04 Ogos 2021 – Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, suatu usul undi percaya terhadapnya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.

Ini susulan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan terutamanya setelah UMNO menarik sokongan terhadapnya dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan ini merupakan antara cadangannya kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika sesi menghadap Baginda pagi tadi.

“Saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.”

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.”

“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.”

Dalam masa yang sama, Muhyiddin Yassin juga memaklumkan bahawa persoalan peletakan jawatan beliau adalah tidak berbangkit kerana beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.”

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: